Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekalan darah bagi kegunaan harian serta situasi kecemasan rakyat setempat di sini dijangka berada dalam paras yang rendah menjelang musim Syawal kelak.

Lantaran itu, Ketua Jabatan Transfusi Hospital Taiping, Dr Nurul Raihan Mohamed Zawawi berkata, pendermaan darah dari masyarakat setempat secara konsisten adalah amat diperlukan khususnya bagi situasi di luar jangkaan.

“Kita amat memerlukan bekalan darah yang mencukupi terutamanya bagi mereka yang mengalami pendarahan di luar jangkaan seperti kemalangan, komplikasi semasa bersalin serta bagi membantu pesakit-pesakit thalassaemia.

“Justeru, saya menyeru orang ramai untuk tampil menderma darah sepanjang bulan Ramadan ini bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi dan berada diparas selamat,” katanya dalam kenyataan media.

Dr Nurul Raihan menambah, Tabung Darah Hospital Taiping beroperasi Isnin hingga Jumaat bermula pada pukul 8 pagi hingga 4 petang (termasuk waktu rehat) sepanjang bulan Ramadan ini.

Tabung Darah juga dibuka pada waktu malam iaitu setiap hari Selasa dan Khamis bermula pada pukul 8 malam hingga 11 malam bagi memudahkan penderma darah beragama Islam untuk hadir menderma.

Malah, Hospital Taiping akan membuka kaunter pendermaan darah di Dewan Persatuan Kwangtung, Taiping pada setiap hari Rabu di sepanjang bulan Ramadan ini untuk memudahkan komuniti menderma darah pada waktu operasi bermula 9 pagi hingga 2 petang.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan jadual mingguan kempen derma darah juga boleh dirujuk di laman sosial Tabung Darah – ‘Derma Darah Taiping’ – Facebook, Telegram, Instagram, Twitter, emel menerusi [email protected] dan talian Whatsapp 017- 4665864 – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast