Pencarian penyelam remaja warga Belanda, Nathan Renve Chesters, 14, yang hilang dan disyaki hanyut ke perairan Indonesia ditamatkan.

JOHOR BAHRU – Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia menamatkan operasi pencarian penyelam remaja warga Belanda, Nathan Renve Chesters yang hilang dan disyaki hanyut ke perairan negara itu.

Operasi ditamatkan secara rasmi pada jam 7 malam semalam berikutan tiada sebarang petunjuk dan penemuan mangsa yang berusia 14 tahun itu di perairan Pulau Bintan.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, pusat operasi Basarnas di Tanjung Pinang mengumumkan penutupan operasi setelah tujuh hari pencarian bermula pada 10 April dilancarkan.

Katanya operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan Indonesia itu melibatkan kapal-kapal Tentera Nasional Indonesia (TNI), Badan Keamanan Laut Indonesia (Bakamla), Polis Perairan Indonesia (Polair) dan Basarnas.

“MRSC (Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim) Johor Bahru merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih di atas kerjasama semua pihak yang terlibat dalam operasi ini.

“Diharapkan kerjasama di kalangan jabatan dan agensi terlibat terus diperkukuhkan agar keselamatan dan kesejahteraan komuniti maritim di perairan negara kekal terjamin,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada 6 April lalu, empat penyelam warga asing hilang ketika melakukan aktiviti latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol, Mersing 6 April lalu.

Daripada empat yang hilang itu, tiga ditemui selamat di perairan Malaysia kecuali Chesters yang dipercayai hanyut ke perairan negara jiran itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast