A. A. Anbalagan Serdang Seri Kembangan murder hacked body man
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A. Anbalagan. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

SERDANG – Satu sindiket penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian tidak wujud yang menyasarkan warga Australia dan Singapura terbongkar dengan tertangkap empat individu.

Sindiket itu menjadikan sebuah kondominium di kawasan Seri Kembangan sebagai pusat panggilan untuk menggerakkan aktiviti haram itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, A.A. Anbalagan berkata, bertindak atas maklumat pada Ahad, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang membuat dua serbuan berasingan di dua buah kondominium The Mines Resort City dan Cheras Selatan di Seri Kembangan.

Katanya, dalam serbuan pertama polis menahan empat suspek lelaki berusia antara 20 tahun hingga 26 tahun.

“Hasil pemeriksaan di rumah mereka berjaya merampas lima unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua set dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), serangkai anak kunci bersama kad akses di kawasan sebuah kondominium di Jalan Dagang SB, The Mines Resort City, Seri Kembangan.

“Berdasarkan maklumat soal siasat tangkapan pertama, pihak polis telah membuat serbuan seterusnya di sebuah kondominium yang dijadikan tempat beroperasi kegiatan penipuan tawaran kerja sambilan yang tidak wujud di unit kondominium di Jalan Akasa, Cheras Selatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan di dalam unit kondominium itu polis berjaya merampas tiga unit komputer riba pelbagai jenama.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati sindiket itu menjalankan aktiviti pusat panggilan penipuan dengan tawaran kerja dalam talian yang menyasarkan warga asing khususnya Singapura dan Australia.

“Mereka dipercayai berperanan sebagai operator pusat panggilan untuk mencari mangsa sejak bulan Januari 2022.

“Sindiket ini menggunakan akaun bank Australia dan Singapura untuk semua transaksi pembayaran dan menggunakan aplikasi Telegram dan WhatsApp sebagai medium perhubungan untuk memperdaya dan menjerat mangsa.

“Hasil daripada kegiatan penipuan ini sindiket berkenaan telah menjana keuntungan sebanyak lebih kurang RM150,000 sebulan,” ujar beliau.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga 21 April ini untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette