covid-19
Gambar hiasan

JAKARTA – Hampir semua penduduk Pulau Jawa yang paling padat penduduknya di Indonesia mempunyai antibodi terhadap Covid-19, disebabkan gabungan jangkitan terdahulu dan vaksinasi terhadap virus itu, satu tinjauan yang ditauliahkan kerajaan.

Kajian yang dijalankan pada bulan Mac terhadap 2,100 orang di Jawa yang mempunyai 150 juta penduduk dan Bali, destinasi pelancongan utama Indonesia, mendedahkan 99.2 peratus orang mempunyai antibodi Covid-19, peningkatan 6.0 mata peratusan daripada tinjauan Disember.

Pandu Riono, ahli epidemiologi di Universiti Indonesia, yang menjalankan tinjauan dengan kementerian kesihatan memberitahu Reuters bahawa tahap antibodi dalam tinjauan terbaharu lebih tinggi disebabkan oleh kempen suntikan penggalak yang lebih luas.

Bilangan kes harian Indonesia telah menurun dengan ketara sejak lonjakan pada bulan Februari didorong oleh varian Omicron.

Kira-kira 60 peratus daripada 270 juta penduduknya telah divaksinasi terhadap Covid-19.

Pandu berkata, antibodi yang lebih kuat mungkin menjelaskan kadar penurunan jangkitan varian Omicron di Indonesia.

Pada bulan Disember, seramai 22,000 orang menjalani kajian itu dan menunjukkan 86 peratus warga Indonesia mempunyai antibodi virus itu.

Kajian itu menjejaki data terkini di Britain, yang mana peratusan orang dewasa dengan antibodi Covid-19 pada pertengahan Mac adalah hampir 99 peratus, menurut Pejabat Statistik Kebangsaannya. – Reuters