Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf Rawa menafikan dakwaan kononnya Lembaga Tabung Haji (TH) berdepan keperitan sepanjang pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau menyifatkan dakwaan yang dibuat oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub itu tidak benar sama sekali, selain membuat kenyataan tanpa merujuk kepada fakta.

“Fakta sebenar menunjukkan TH berjaya dipulihkan ketika berada bawah pentadbirannya di era pemerintahan PH.

“Bahkan penstrukturan semula TH melalui Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) mendapat anugerah antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad dalam Majlis Ihya Ramadan Bersama Anak Kelantan di Perantauan (Zon Lembah Klang) dilaporkan berkata, TH menghadapi keperitan ketika pemerintahan PH.

Dr. Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) meminta Timbalan Mursyidul Am Pas itu rajin membaca semua laporan audit dari tahun 2018 sehingga 2020.

Ini kerana, katanya, Ahmad akan mendapati laporan sebagai bersih, patuh dan menggambarkan kedudukan sebenar segala yang dinikmati hari ini adalah hasil kejayaan penstrukturan semula zaman PH.

Beliau menegaskan, penstrukturan semula TH berjaya mengimbangkan defisit antara aset dan liabiliti patuh akta TH mengenai Seksyen 22 dalam pengagihan hibah.

“Pendeposit juga mempercayai usaha dilakukan zaman PH kerana tidak berlaku ‘bank run’ atau panik walaupun terpaksa memberikan hibah rendah tahun pertama pemulihan untuk 2018.

“Soalan saya kepada MB Melayu-Islam ini, nak dengar fakta atau nak ulang fitnah terhadap Tabung Haji?” soal beliau. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.