Logo Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

KUALA LUMPUR – Pengumuman kerajaan yang membenarkan Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disambut baik orang ramai setelah pembayaran mula dikreditkan semalam secara berperingkat.

Sehubungan itu, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) tampil menjelaskan hukum pembayaran zakat bagi individu beragama Islam yang terlibat dalam pengeluaran khas tersebut.

Pegawai PPZ-MAIWP Cawangan Masjid Negara, Muhammad Azraaf Anuar

Menurut Pegawai PPZ-MAIWP Cawangan Masjid Negara, Muhammad Azraaf Anuar, terdapat dua situasi yang perlu difahami berhubung pembayaran zakat bagi pengeluaran khas tersebut.

“Pertama, jika pengeluaran KWSP disebabkan individu itu terkesan iaitu mungkin dari segi kekurangan pendapatan atau diberhentikan kerja, maka golongan ini tidak dikenakan zakat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pejabat PPZ Masjid Negara di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azraaf berkata, golongan kedua iaitu individu yang mengeluarkan wang simpanan KWSP tanpa keperluan mendesak adalah diwajibkan membayar zakat.

“Jika pengeluaran tersebut atas sebab sengaja keluar atau mungkin nak simpan di tempat yang lebih baik dari segi perolehan dividen, jadi golongan ini dikenakan zakat iaitu 2.5 peratus daripada jumlah yang dikeluarkan,” ulasnya.

Jelas beliau, wang KWSP dikenakan zakat kerana konsepnya sama seperti wang simpanan, namun bezanya adalah simpanan KWSP tidak boleh dikeluarkan sesuka hati seperti akaun simpanan biasa.

Sehubungan itu, PPZ-MAIWP menyeru umat Islam yang terlibat dalam pengeluaran berkenaan untuk cakna mengenai pembayaran zakat supaya simpanan yang diperoleh mendapat keberkatan sesuai dengan erti zakat iaitu menyucikan harta. – MalaysiaGazette