Anak Yatim Piatu , Putri Safica Samsukirmo (baju biru) tidak dapat menahan sebak semasa menziarah tanah perkuburan ahli keluarganya pada Ziarah Ramadan PPZ MAIWP 2022 di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 15 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – “Saya masih sedih, macam tak percaya mereka dah tak ada,” lembut tutur Putri Safica Sari Samsukirno ketika berkongsi kisahnya yang kehilangan mak dan ayah tahun lalu.

Kehilangan ibu dan ayah dalam tempoh seminggu menyebabkan Putri cukup sedih kerana tempat berpijak sudah terban, tempat bergantung sudah putus tatkala usianya masih muda.

Putri, 16, akui dia tidak pernah terbayangkan akan menerima perkhabaran buruk kematian ibu dan ayahnya yang dijangkiti Covid-19.

Allahyarhamah Afis Ummayah, 51, dijemput ilahi terlebih dahulu pada 20 Julai 2021 selepas sehari ditidurkan manakala Allahyarham Samsukirno Muntarap, 55, bapa Putri menyusul pada 31 Julai, selepas ditidurkan selama dua hari.

Putri Safica Samsukirmo

Putri berkata, hatinya luluh, sedih dengan kehilangan ibu dan ayahnya tatkala usianya  masih muda memerlukan kedua-duanya.

“Memang sedih…sedih sangat. Macam tak percaya mereka sudah tiada, tapi nak buat macam mana.

“Dulu, kalau bangun tidur, terus nampak ayah depan TV,” katanya dengan suara sebak ketika dikunjungi wartawan MalaysiaGazette yang menyertai kunjungan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, dekat Gombak.

Namun, Putri berkata, dia dan dua lagi kakaknya akur dengan ujian Allah ini walaupun pada hakikatnya ia cukup sukar.

“Saya redha, cuma saya rindu mak dan ayah,” ujar remaja ini sambil menahan tangisannya.

Putri yang tidak betah menahan airmatanya mengakui, Ramadan ini dia merindui soto air tangan maknya.

“Takda siapa lagi dah boleh masak masakan favourite saya, soto. Arwah mak punya soto je yang paling sedap.

“Saya juga rindu saat-saat berkumpul di meja makan dan makan sama-sama apa yang mak masak,” katanya dengan air mata yang berjurai-jurai.

Wartawan MalaysiaGazette sempat menemui kakak kepada Putri, Cindy Pospitasari, 26 yang tenang menemani adiknya.

Cindy yang sebelum ini tinggal berasingan kerana sudah mendirikan rumah tangga, kini kembali di rumah keluarga untuk bersama-sama Putri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast