Kes baharu positif Covid-19 direkodkan KKM semalam adalah terendah sepanjang 19 hari bulan ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 241 pesakit baharu jangkitan Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 144 kes atau 59.8% termasuk dalam Kategori 1 dan 2 manakala baki 97 kes atau 40.2% dalam Kategori 3,4 dan 5.

Setakat semalam, Selangor merekodkan 52 kes kemasukan ke hospital, diikuti Johor (34) dan Perak (30).

Hanya Perlis dan Labuan yang sifar kes kemasukan hospital.

Noor Hisham Abdullah

Daripada 45 kes Covid-19 kategori 3, 4, dan 5, sebanyak sembilan kes (20.00%) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; • 18 kes (40.00%) telah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak.

Manakala 18 kes (40.00%) telah menerima dos penggalak, 21 kes (46.67%) berumur 60 tahun dan ke atas dan 26 kes (57.78%) mempunyai komorbid.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, 6,069  kes baharu positif Covid-19 yang direkodkan semalam adalah terendah sepanjang bulan ini.

Sepanjang 19 hari pertama bulan ini, kes terendah yang direkodkan ialah pada 17 April lalu, 6,623 kes.

Dengan kes terbaharu itu semalam, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan positif di negara ini sejak wabak Covid-19 melanda negara ini dua tahun lalu kepada 4,402,234 kes.

Kes sembuh semalam ialah 10,619 kes menjadikan 4,274,746 kes kumulatif.

Tambah beliau, kadar penggunaan katil di unit rawatan papi (ICU) bagi pesakit Covid-19 ialah 97 atau 13% daripada jumlah kapasiti.

Setakat semalam, tiada negeri merekodkan katil ICU melebihi penggunaan 50% kapasiti.

Sejumlah 64 pesakit memerlukan bantuan pernafasan atau 8 peratus daripada jumlah keseluruhan. – MalaysiaGazette