Lagu Cinta dinyanyikan secara duet Aiman Sidek dengan adiknya, Alin.

KUALA LUMPUR – Tampil dengan single baharu, Cinta Sejati dan dikatakan menyamai karya nukilan dari Indonesia, penyanyi Aiman Sidek tidak terkilan.

Lagu ciptaan Aiman sepenuhnya itu dinyanyikan secara duet dengan Alin Sidek yang juga adik perempuannya mencuri perhatian sejak dilancarkan 1 April lalu.

Lagu diterbitkan 4U Entertainment itu kedengaran seperti lagu dari seberang seperti karya nukilan Melly Goeslow dan Irwansyah.

“Saya akui memang ada dengar maklum balas dan reaksi lagu itu macam lagu dari seberang. Jika benar seperti disangka, ia penghargaan untuk saya khususnya. Saya tidak melihat perkara itu sebagai membebankan.

“Namun, apa saya boleh katakan agu ini masih ada cita rasa Malaysia yang tinggi. Mungkin berdasarkan penggunaan kata puitis dalam lirik lagu itu pantas membuatkan orang ramai anggap ia karya seberang,” kata Aiman.

Bagi pemenang tempat kedua Akademi Nasyid terbitan TV9 itu, beberapa buah lagu ciptaannya sebelum ini juga sudah menggunakan bahasa puitis.

“Macam lagu Bunga Dhia, Pria Arjuna dan Larut pun menggunakan formula sama dengan penggunaan bahasa puitis untuk menyentuh hati masyarakat kita.

“Cuma ketika itu, belum rezeki saya untuk menyerlah dengan lagu-lagu berkenaan. Tak sangka, rezeki saya kali ini menerusi lagu Cinta Sejati mula diterima ramai.

“Orang mula nampak apa yang mahu disampaikan dalam setiap karya curahan saya,” katanya.

Kata pemilik nama sebenar, Mohamad Aiman Md Sidek ini duet dengan adiknya terjadi secara kebetulan.

Selain Alin, dua adik lelakinya juga mempunyai band muzik.

“Saya anggap ia kebetulan yang ajaib. Dari zaman dia belum berkahwin lagi saya cuba ajak berduet. Namun, semuanya ditolak dengan alasan dia malu dan tak yakin.

“Sedangkan saya sedar, dalam kalangan adik – beradik, dia ada vokal unik. Tak saya duga, pelawaan kali ini diterima pula. Mungkin juga sebab dia tengah berbadan dua sampai terbuka hati nak menyanyi duet. Usia kehamilannya nak masuk tujuh bulan. Rezeki anaknya barangkali sampai lagu ini meletup.

“Pertaruhannya menjadi kerana lagu ini beri impak besar dan diterima. Jumlah tontonan video lirik lagu ini di YouTube pun sudah mencecah hampir 350,000. Lagu ini juga mendapat lebih 10,000 perkongsian di TikTok dengan tontonan lebih 10 juta,” katanya sambil memberitahu lagu itu bakal menjadi runut bunyi telefilem Itulah Takdirnya. – MalaysiaGazette