Peguam Pemerhati Khairul Anuar keluar dari mahkamah selepas mendengar pertuduhan yang dilakukan oleh Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali yang telah mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Empat peguam pemerhati Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berada dalam Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi mengikut kes pengabaian remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella.

Peguam terbabit adalah bekas Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Panel Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Baljit Singh Sidhu.

Turut dilantik Ahli Panel Road Map Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Ikbal Salam dan Ahli Panel Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mohd. Radzi Yatimin.

Peguam-peguam berkenaan dicadangkan oleh Tunku Ismail dan dipersetujui oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Artikel berkaitan: TMJ tawar peguam jalankan arahan memerhati kes penderaan Bella

Peguam-peguam berkenaan mempunyai pengalaman dalam kes jenayah dan kekeluargaan.

Tunku Ismail pada Ahad lalu menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief).

Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) turut menghantar peguam pemerhati masing-masing.

Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi hadir mendengar sebutan kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa atas pertuduhan mengabaikan seorang remaja sindrom yang dikenali Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 APRIL 2022.

Hakim Izralizam Sanusi sebelum itu mengingatkan agar peguam pemerhati untuk menghantar seorang wakil sahaja kerana tempat yang terhad.

Turut hadir bagi menyaksikan perbicaraan adalah Senator Datuk Ras Adiba Radzi.-MalaysiaGazette