Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Akibat percaya pelaburan tiga minit boleh menjana keuntungan tiga peratus, jurujual sebuah syarikat komunikasi kerugian sebanyak RM382,517.47.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, mangsa seorang wanita 36 tahun itu terdahulu telah melayari laman web pelaburan di luar negara yang ingin diceburinya.

Menurutnya, mangsa sejak 19 Mac hingga dua hari lalu telah membuat 27 kali transaksi ke dalam akaun yang berbeza.

“Syarikat tersebut mengusahakan tiga jenis produk iaitu green agriculture products, green health  dan green energy,” katanya menerusi kenyataan hari ini

Ujar Mohd Mahidisham, mangsa kemudian merasa tertipu kerana masih tidak dapat mengeluarkan keuntungan dalam masa yang sama masih diminta membuat transaksi tambahan kepada syarikat berkenaan sebelum membuat laporan polis.

Menurut Mohd Mahidisham, kes penipuan berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan agr masyarakat berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pelaburan yang tidak sah.-MalaysiaGazette