KUALA LUMPUR- Anak syarikat tidak langsung Axiata Group Bhd, ISOC edotco Towers Inc (edotco Philippines) dalam proses pembelian sebanyak 2,973 menara telekomunikasi dan aset berkaitan di Filipina daripada PLDT Group pada harga RM3.42 bilion.

Menurut Axiata, edotco Filipina yang dimiliki sepenuhnya oleh unit dengan kepentingannya sebanyak 63 peratus, edotco Group Sdn Bhd, semalam bertindak memeterai perjanjian bagi pembelian aset dengan unit PLDT Group, Smart Communications Inc dan Digitel Mobile Philippines Inc (DMPI).

“Susulan transaksi itu, edotco Filipina akan memiliki dan mengendalikan kira-kira 3,100 menara, sekali gus menjadi syarikat menara bebas terbesar di Filipina,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Axiata telah mengemukakan permohonan agar dagangan saham dan warannya digantung bagi tempoh 9 pagi hingga 10 pagi hari ini susulan pengumuman tersebut.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan edotco, Adlan Tajudin menyifatkan urus niaga tersebut sebagai pengambilalihan yang amat strategik bagi edotco kerana dapat mempelbagaikan dan mengukuhkan platform pan-Asia kumpulan dengan pendedahan kepada pasaran pertumbuhan tinggi dengan sokongan kerajaan yang kukuh.

“Menerusi platform yang kukuh di Filipina, edotco dapat memainkan peranan penting dalam membangunkan infrastruktur ekonomi digital negara serta mempercepat strategi pertumbuhan organik dan bukan organik.

Axiata berkata, transaksi itu akan dibiayai menerusi gabungan kedua-dua dana yang dijana secara dalaman serta pembiayaan luaran.

Menurutnya, cadangan pengambilalihan aset menara PLDT itu akan mengurangkan pendedahan edotco kepada syarikat pengendali Axiata daripada 56 peratus kepada 48 peratus dengan peningkatan tumpuan portfolio terhadap pasaran sedang pesat membangun dari segi kedudukan sempadan.

“Tanpa mengambil kira sebarang keadaan di luar jangka dan tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan, cadangan pengambilalihan aset menara PLDT dijangka selesai menjelang 31 Dis, 2022.

“Malah, seiring dengan pelaksanaan perjanjian jual beli, Smart Communications turut memeterai perjanjian perkhidmatan induk dengan edotco Filipina melibatkan pajakan balik aset yang dipindah (cadangan transaksi sewaan pajakan balik),” katanya.

Axiata berkata, sebagai tambaan kepada cadangan itu, edotco Filipina turut memperoleh komitmen bagi membina dan memajukan sebanyak 750 unit khusus bagi pajakan kepada Smart Communications di masa depan.

PLDT Group yang tersenarai di Bursa Saham Filipina, merupakan sebuah syarikat telekomunikasi bersepadu sepenuhnya dan terbesar di Filipina manakala saham pemegangnya di Amerika pula disenaraikan di Bursa Saham New York.

Pada 11.15 pagi ini, saham Axiata naik enam sen kepada RM3.66 dengan sejumlah 534,100 saham saling berpindah tangan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast