IMBAS SEMULA. Ahli perniagaan Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali sebagai Datuk Addy Kana hadir ke mahkamah bagi tuduhan membabitkan kes pengubahan wang haram yang disiasat dibawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 08 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan wang tunai bernilai RM353,723.81 dan wang RM75,846.82 milik syarikat Nine Nine International milik isteri kepada Datuk Addy Kana yang didakwa hasil aktiviti haram dilucuthak dan menjadi milik kerajaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan ketika memutuskan demikian setelah tertuduh, Alyaa Syuhaila Mohamad Shariff sendiri bersetuju untuk menyerahkan kesemua wang tunai itu kepada kerajaan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nik Haslinie Hashim yang bertindak sebagai pemohon dan peguam Nur Fatin Najwa Ahmad Zainol yang mewakili Alyaa Syuhaila berkata, anak guamnya bersetuju menyerahkan wang tersebut kembali kepada kerajaan.

Pada 26 November 2021, pihak responden telah menghantar representasi dan  telah diterima oleh pihak pemohon iaitu Suruhanajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum ini pada 29 September tahun lalu, notis usul melucuthak wang tersebut secara berasingan dengan menamakan Alvin syarikatnya, Malaysian House of Internet Sdn. Bhd. dan Networld Computer (KL) Sdn. Bhd. serta Alyaa,  dan syarikatnya, Nine Nine International Sdn. Bhd selaku responden.

Menurut pemohon wang itu dipercayai hasil aktiviti aktiviti haram iaitu sindiket pusat operasi perdagangan kripto tanpa lesen dan judi atas talian dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Menerusi notis usul tersebut, kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon untuk melucutkan wang daripada tiga akaun peribadi Alvin berjumlah RM60, 232.01 dan dari akaun-akaun syarikat miliknya, Malaysia House of Internet (RM10,588.94) dan Networld Computer (RM16,721.75).

Turut dimohon untuk dilucutkan hak ialah wang daripada lima akaun peribadi Alyaa berjumlah RM353,723.81 dan daripada akaun syarikat Nine Nine yang mana sebanyak RM75,846.82.

Semua akaun-akaun tersebut telah dibekukan oleh SPRM antara Disember tahun lalu dan Januari tahun lalu. – MalaysiaGazette