Tangkap layar menunjukkan sekumpulan individu menyediakan meriam karbaid dalam paip PVC sebelum membakarnya berhampiran kawasan jalan raya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM – Empat lelaki yang dikesan bermain meriam karbaid di tepi Jalan Permatang Rawa, di sini, selepas video perbuatan mereka tular di media sosial akan didakwa esok.

Kesemua lelaki berusia lingkungan 18 hingga 33 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.

Difahamkan pendakwaan akan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 3(5) akta sama.

Pada 12 April lalu MalaysiaGazette melaporkan, Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) giat mengesan beberapa individu yang bermain meriam karbaid di tepi Jalan Permatang Rawa, di sini.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kesemua individu berkenaan dikesan selepas satu rakaman video berdurasi 2 minit 20 saat menunjukkan sekumpulan lelaki dewasa sedang bermain meriam berkenaan tular di laman media sosial, Twitter.

“Video itu memaparkan mereka bermain meriam karbaid di tepi jalan raya selain membuat gangguan bising kepada penduduk.

“Siasatan berhubung kejadian ini masih dijalankan termasuk mengesan suspek yang terlibat dalam rakaman video itu,” kata beliau. – MalaysiaGazette