ISKANDAR PUTERI – Seramai 56 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor hari ini mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini.

Majlis angkat sumpah dilakukan di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu dilantik, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, didahului oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi diikuti dengan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Terdahulu Onn Hafiz mengemukakan nama Mohd Puad, 64, sebagai Speaker DUN Johor dan disokong Datuk Zahari Sarip ADUN Buloh Kasap yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri.

Majlis angkat sumpah pagi tadi diteruskan dengan bekas Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad ADUN Benut, diikuti bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang); bekas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar R. Vidyananthan ADUN Kahang sebelum disusuli semua ADUN lain.

Sementara itu, Samsolbari, 60, yang juga Setiausaha Badan dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Johor selepas nama beliau dicadang Onn Hafiz dan disokong Zahari. – MalaysiaGazette