Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah PPN Phase 1 relaxation dine in
Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 243 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam dengan 119 kes (49.0 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5 dan 124 kes (51.0 peratus) dalam kategori 1 dan 2.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 31 kes Covid-19 kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan, empat kes (12.90%) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi manakala 15 kes (48.39%) telah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak.

Sementara 12 kes (38.71%) telah menerima dos penggalak, 15 kes (48.39%) berumur 60 tahun dan ke atas dan 19 kes (61.29%) mempunyai komorbid.

Selangor menyaksikan kes kemasukan hospital tertinggi iaitu 59, Johor (37), Perak (31) dan Kuala Lumpur (22).

Manakala Sarawak dan Negeri Sembilan masing-masing 14, Terengganu (11) dan Kedah (10).

Kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 pula ialah 154 atau 13% daripada jumlah kapasiti.

Dalam kenyataan hariannya, beliau menambah, kluster aktif Covid-19 yang direkodkan semalam menunjukkan angka penurunan dalam tempoh tiga hari berturut-turut.

Daripada 6,999 kluster yang direkodkan semalam, 106 adalah kluster yang masih aktif berbanding 109 dua hari lalu dan 120 pada Isnin.

Katanya, kluster baharu juga menurun kepada empat, berbanding lima dua hari lalu dan enam pada Isnin.

Namun, kes baharu positif menunjukkan sedikit peningkatan semalam, iaitu 6,968 kes berbanding kes terendah sepanjang bulan ini yang direkodkan pada Selasa 6,069 kes.

Kes sembuh pula sebanyak 8,267 kes, dengan kes import adalah 32 kes iaitu 24 warganegara dan lapan kes bukan warganegara. – MalaysiaGazette