Datuk Dr Madeline Berma bersama program SKOP MG malam tadi.

KUALA LUMPUR – Pengeluaran terakhir caruman Kumpulan Wang Simpan Pekerja (KWSP) telah dimanfaatkan sebahagian daripada 5.3 juta yang memohon sejak 1 April lalu.

Kebanyakan daripada mereka sudah menyatakan wang tersebut digunakan untuk melangsaikan segala hutang piutang yang tertunggak sejak dua tahun lalu selepas Covid-19 melanda seluruh dunia hingga mengakibatkan ramai terkesan.

Namun, dalam pada itu, terdapat segelintir pihak yang tidak mengambil inisiatif untuk melunaskan hutang sebaliknya berbelanja lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan ini.

Profesor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak, Datuk Dr Madeline Berma berkata, perkara itu tidak dapat diterima kerana mereka yang terlibat tidak jujur ketika awal-awal memohon caruman terakhir tersebut.

“Sewaktu awal-awal, pihak pengurusan KWSP melihat kewajaran untuk diberikan pengeluaran ini kerana melihat desakan hidup masyarakat dalam tempoh beberapa tahun ini.

“Wang yang keluar juga akan dicairkan dalam bentuk pembayaran juga, tapi apabila ada segelintir yang keluar duit hanya untuk kereta dan kehendak sahaja, saya tidak boleh terima dan ia adalah tidak wajar,” katanya menerusi program SKOP MG malam tadi.

Dengan tajuk RM10,000 KWSP, Pastikan Bayar Hutang Dahulu, Madeline berkata, perkara itu perlu dielakkan.

“Benar, itu duit mereka, duit yang mereka carum. Tetapi jika hanya untuk kereta, seharusnya menggunakan sumber kewangan yang lain bukan duit terakhir KWSP.

“Saya boleh terima jika ada yang mengambil pendekatan menyimpan duit ini untuk kecemasan.

“Keluar dan masukkan dalam akaun lain, tetapi bagi yang berbelanja sakan hanya mengikut kehendak buat masa ini, adalah tidak bagus dalam mendepani hari-hari akan datang,” jelasnya.

Beliau berkata, dengan pengeluaran terakhir ini, ia sepatutnya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

“Kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan, ini pula pengeluaran terakhir, jadi lebih baik beringat dan tidak membazir.

“Andai mahu juga digunakan untuk perkara-perkara seperti itu, terpulanglah, tetapi saya merasakan tidak ada lagi pengeluaran selepas ini,” tambahnya.

Beliau berkata, KWSP adalah agensi yang memegang Amanah untuk menjaga duit pencarum sehingga waktu matang.

“Jangan nanti pada usia 55 tahun, caruman yang ada semakin sedikit dan tidak mampu menampung kehidupan selepas bersara.

“Sekali lagi saya tekankan, jangan membazir dan gunakan dengan bayar hutang terlebih dahulu dan hiduplah secara sederhana.

“Saya juga faham, daripada meminjam daripada ah long, lebih baik guna duit sendiri, tetapi jangan sampai membazir,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata pembayaran sudah dibuat secara berperingkat bermula 18 April lalu kepada 5.3 juta kepada pencarum yang memohon. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast