Hans Isaac

KUALA LUMPUR – Pelakon Datuk Hans Isaac secara rasmi mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Ampang pada pemilihan parti itu Mei ini.

Beliau yang juga Pengarah dan Penerbit Filem berkata, keputusan itu dibuatnya selepas mengambil kira tragedi ‘Langkah Sheraton’ yang telah menggoncang kesetiaan dan kepercayaan rakyat kepada parti itu.

Menurutnya, PKR Ampang yang selama ini tampil dengan tindakan berani membawa perubahan dinamik terhadap tampuk kepimpinan, terpalit dengan pelbagai skandal dalaman.

“Setelah mendapatkan pandangan keluarga dan rakan seperjuangan dalam PKR, saya dengan rendah diri menawarkan untuk bertanding jawatan Ketua Cabang Keadilan Ampang pada pemilihan parti 2022.

“Iklim politik tanah air semakin tidak menentu dan ekonomi mendesak nyata tidak membantu rakyat dalam meniti kehidupan yang semakin mencabar.

“Bertitik tolak dari peristiwa ini, saya berpendapat betapa jelas perlunya perubahan di Ampang dan kepimpinan yang lebih kukuh dalam memastikan setiap suara rakyat didengari,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Menurut Hans, walaupun aspek ‘seniority’ di pentas politik tidak menjanjikan kecemerlangan, tetapi tidak seharusnya ahli baru dipertikai.

Kata beliau, demi mengekalkan gelombang Keadilan di Ampang, adalah wajar untuk menggamit kembali keyakinan rakyat khasnya di peringkat akar umbi, sekali gus memperjuang serta memperkasa idealisme parti.

“Misi kita adalah jelas dalam memastikan Ampang dipimpin oleh mereka yang berkemampuan membawa PKR kembali dipercayai oleh rakyat,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast