Tee Siew Kiong menunjukkan surat yang diterima daripada Jawatankuasa Tatatertib MCA bagi menghadiri perbicaraan.
JOHOR BAHRU – Ketua bahagian MCA Pontian, Tee Siew Kiong berdepan tindakan tatatertib kerana didakwa tidak mematuhi arahan pimpinan parti semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu.
Beliau sedia menerima sebarang kemungkinan termasuk dilucutkan keangliannya.
“Realitinya, saya berasa amat sedih dan terkejut selepas menerima surat daripada Jawatankuasa Tatatertib MCA yang meminta saya menghadiri perbicaraan.
“Saya rasa hairan dan bingung kerana perbicaraan ini berpunca daripada sidang media saya pada 25 Februari lalu. Apa yang saya lakukan hanya memohon maaf kepada penyokong dan pengundi secara peribadi serta memberi penjelasan kepada mereka bahawa saya tidak dinamakan sebagai calon pada PRN Johor. Oleh itu, saya tetap yakin saya tidak bersalah.
“Walaupun saya tidak dapat bertanding dalam PRN Johor, saya tidak pernah berputus asa malah saya memberi sokongan sepenuh hati dan membantu alon Barisan Nasional (BN) di Pontian sepanjang tempoh berkempen,” katanya pada sidang media Country, di sini, hari ini.
Menurut Siew Keong beliau telah surat daripada Jawatankuasa Tatatertib MCA bagi menghadiri perbicaraan jawatankuasa itu pada jam 12 tengah hari esok secara atas talian.
Sementara itu, Siew Keong meminta Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong seharusnya mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat dan tidak perlu membazir masa untuk menekan rakan seperjuangan parti.
Malah katanya, Ka Siong perlu meningkatkan semangat pemimpin dan ahli akar umbi kerana pelantikan calon-calon PRN Johor yang tidak memegang sebarang jawatan dalam parti telah mengecewakan mereka.
“Saya bukan lagi wakil rakyat dan tidak memegang sebarang jawatan penting dalam parti. Betulkah Presiden berhasrat untuk membuang saya dari parti? Betulkah Presiden ingin melucutkan keahlian biasa saya yang kini merupakan satu-satunya hubungan saya dengan parti,” katanya. – MalaysiaGazette