KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar Negeri (CCFP) membincang dan memperhalusi beberapa isu kepentingan secara langsung terhadap negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifudin Abdullah berkata, mesyuarat kali pertama itu diadakan secara hibrid dengan sembilan ahli hadir, manakala enam lagi dilakukan secara maya.
“Perbincangan turut melibatkan konflik Ukraine dan Rusia, cadangan meningkatkan keberkesanan bantuan kemanusiaan, inisiatif mengetengahkan diplomasi bahasa, kebudayaan serta isu keselamatan makanan,” katanya kepada media, hari ini.
Dalam mesyuarat itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar (Hubungan Dua Hala), Datuk Amran Mohamed Zin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Pelbagai Hala), Datuk Cheong Loon Lai bertindak sebagai ahli ad-hoc.
Selain itu, kata Saifudin, Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abd. Hamid turut dilantik sebagai ahli baru CCFP.
“Pelantikan ini dibuat dengan mengambil kira pengalaman beliau yang berupaya menyumbang ke arah proses penggubalan dasar luar negeri yang pragmatik serta berdaya tahan bagi menghadapi cabaran semasa, di samping mewakili suara golongan belia,” katanya. – MalaysiaGazette