Keadaan sesak yang terpaksa dihadapi warga Johor yang bekerja di Singapura.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor akan menyediakan perkhidmatan bas shutter (pengantara) secara percuma bagi memudahkan pengguna ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI) tanpa mengharungi kesesakan di laluan jambatan pejalan kaki dari BSI bermula esok hingga 30 April ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bas shutter itu akan mengambil penumpang di Jalan Tun Razak (City Square) dan di Jalan Jim Quee seterusnya ke BSI dengan kekerapan perkhidmatan setiap 10 minit.

Onn Hafiz Ghazi

Kekerapan ini, katanya, akan ditambah pada waktu puncak seperti hujung minggu dan cuti perayaan.

“Saya berharap dengan langkah yang diambil oleh kerajaan ini dapat mengurangkan kesesakan di JB Sentral dan BSI serta mampu memberikan keselesaan kepada pengguna. Saya akan berkongsi perkembangan dari semasa ke semasa.

“Seperti yang saya janjikan, selepas menerima maklumat berkenaan kesesakan yang berlaku di Bangunan Sultan Iskandar baru-baru ini, saya telah menubuhkan satu task force bagi mengenalpasti masalah dan penyelesaian yang perlu diambil.

“Saya telah mempengerusikan task force tersebut hari ini. Setelah berbincang dengan agensi dan jabatan yang berkenaan, lokasi masalah kesesakan yang dikenalpasti ialah di laluan jambatan pejalan kaki antara JB Sentral ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI) akibat kerja-kerja pembaikan eskalator yang dijangka siap pada pertengahan bulan Jun 2022.

“Lif rosak yang tular baru-baru ini juga telah dibaiki dan akan beroperasi seperti biasa hari ini” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Onn Hafiz, antara penyumbang lain kepada masalah kesesakan ialah perkhidmatan bas keluar masuk BSI yang terhad operator bas hanya akan beroperasi seperti sediakala mulai 1 Mei ini.

“Mereka menghadapi sedikit masalah disebabkan pandemik Covid-19. Kerajaan Negeri amat mengambil berat atas perkara ini dan langkah penyelesaian yang pantas harus dilakukan bagi menjamin keselesaan dan keselamatan rakyat di negeri ini,” katanya. -MalaysiaGazette