Mohd Puad Zakarshi mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN Johor yang baharu.

ISKANDAR PUTERI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Mohd Puad Zarkashi mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang baharu pada mesyuarat pertama penggal persidangan Dewan Negeri Johor Ke-15 hari ini.

Mohd Puad, 64, satu-satunya nama yang dicadangkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk memegang jawatan itu.

Lantikan itu kemudian disokong ADUN Buloh Kasap Datuk Zahari Sarip yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar

Mohd Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat semalam dikhabarkan hampir pasti dinamakan sebagai Speaker.

Beliau adalah pemimpin paling senior Johor yang dikatakan layak memegang jawatan tersebut.

Turut disebut-sebut sebagai Timbalan Speaker DUN pula ialah ADUN Semarang, Datuk Samsolbari Jamali, Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar.

Mohd Puad adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum-ke 12 (PRU-12).

Dalam pada itu, Mohd Puad ketika berucap selepas disarungkan pakaian rasmi Speaker menzahirkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh menteri besar.

Beliau berikrar akan memikul amanah yang diberikan itu dengan bersungguh-sungguh dan penuh dedikasi.- MalaysiaGazette