Seorang jemaah membaca al-Quran sejurus selesai bersembahyang pada hari pertama diberi kelonggaran menunaikan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Nabawi, Madinah, Arab Saudi. Foto HAZROL ZAINAL, 17 OKTOBER 2021.

UNTUNGNYA umat Islam kerana tindakan dan suruhan yang diberikan oleh Allah SWT disertakan dengan tujuannya. Di bawah payung konsep Islam sebagai rahmat, maka keseluruhan pensyariatannya adalah kebaikan-kebaikan yang dibawa untuk umat manusia.

Hanya yang tinggal cuma satu persoalan, bagaimanakah manusia itu mengambil peluang untuk merealisasikan agenda rahmat tersebut dalam kehidupannya? Sebagai sebuah panduan kehidupan yang syumul, segenap aspek kehidupan umat Islam
dibimbing dengan panduan hukum dan peraturan yang semuanya bertujuan menjaga maslahah serta kebaikan manusia juga menolak sebarang kemudaratan yang mungkin
timbul.

Kebaikan-kebaikan yang ingin dicapai tersebut ditimbang cermat meliputi kebaikan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Menjalani kehidupan yang serba rencam, terutamanya pada hari ini, keperluan manusia makin kompleks, seiring dengan kemajuan dan perkembangan semasa. Selaras dengan itu juga, syariat yang sempurna telah bersedia dengan cadangan penyelesaian untuk menyantuni sebarang permasalahan yang timbul.

Syariah lestari

Prinsip-prinsip syariah mengenai keimanan dan akidah yang sejahtera dan nilai-nilai kesejagatan inilah yang menjadikan syariah lestari hingga ke akhir umur dunia. Kefahaman-kefahaman tentang agama melalui satu bidang makin meluas yang dinamakan sebagai fiqh pula adalah sebagai engsel, yang menjadikan hukum-hukum Islam bersifat fleksibel dan sesuai sepanjang zaman demi melayani kehidupan manusia yang makin hari makin mencabar.

Siapa sahaja yang tidak pernah merasa penat dalam hidup. Sebagaimana kata orang, duduk saja-saja pun penat. Apa lagi melakukan pekerjaan dan tugasan yang berpanjangan dek kerana tuntutan kehidupan masa kini yang tidak kenal batas. Hakikatnya, dalam kehidupan, tekanan adalah merupakan satu perkara yang lumrah dan diterima pakai sebagai sebahagian daripada kehidupan itu sendiri. Malah, seperti mustahil untuk seseorang itu untuk mencari satu bentuk kehidupan yang bebas daripada tekanan.

Semakin kompleks kehidupan manusia, semakin tinggi tekanan dan tuntutan yang perlu mereka uruskan. Ini bermakna tekanan itu turut sama berkembang, sejajar dengan tahap
perkembangan kehidupan manusia itu sendiri. Semakin dewasa seseorang individu itu, semakin banyak rintangan dan tugasan serta ujian yang akan ditempuhi dalam sepanjang hidup mereka.

Itulah lumrah kehidupan. Situasi ini mendesak masyarakat dewasa ini, untuk mencari-cari terapi, ‘gateaway’ atau jalan keluar untuk meredakan tekanan hidup. Tekanan samada pada sudut fizikal mahupun mental, sekiranya tidak ditangani sebaiknya akan menyebabkan kemusnahan dan kesakitan.

Oleh itu kita dapat perhatikan, pelbagai cara yang diteroka oleh manusia untuk meredakan tekanan-tekanan tersebut. Ada orang melegakan tekanan dengan secawan kopi, ada juga yang melancong hingga ke luar negeri. Ada orang yang melegakan tekanannya dengan melakukan aktiviti kegemaran, ada pula yang membantu orang yang memerlukan. Bahkan, ada juga yang menjadikan tekanan sebagai alasan untuk melanggar batasan agama mahupun kesusilaan.

Menyedari akan hal ini, Allah yang Maha Penyayang telah menyediakan jalan-jalan terapi melalui pelbagai cara. Ibadah-ibadah yang wajib itu pada hakikatnya ialah terapi kepada tekanan-tekanan yang ada dalam kehidupan manusia. Kesibukan-kesibukan samada berbentuk pergerakan dan komitmen fizikal contohnya diredakan dengan pensyariatan solat lima waktu sehari semalam.

Solat lima waktu jika ditunaikan dengan penuh peghayatan, akan mampu melonggarkan dan meredakan tekanan dan kesibukan ataupun hanya seketika cuma. Tidak dinafikan, perhubungan seorang hamba dengan Allah merupakan tali utama yang menentukan kebahagiaan seseorang di dunia dan akhirat. Inilah yang digambarkan melalui
ayat:
وَمَن يُسْلِمْ وَجْهَهُۥٓ إِلَى اللَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقٰى وَإِلَى اللَّهِ عٰقِبَةُ الْأُمُورِ
Dan barangsiapa yang menyerahkan wajahnya  kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada tali Allah yang kukuh,
Dan hanya kepada Allah-lah kesudahan segala urusan. (Surah Luqman ayat 22)

Penyerahan secara total kepada Allah Taala tidak akan berlaku tanpa keyakinan yang mantap. Orang yang benar-benar dekat dengan Allah Taala akan memenyerahkan segala
urusannya kepada Allah setelah berusaha.

Taqwa ialah nakhoda

Umpama enjin kepada kereta, umpama ‘motherboard’ kepada komputer, itulah taqwa bagi seorang manusia. Atas kepentingan inilah taqwa diprogramkan penjanaannya melalui
sebuah ibadah bernama puasa yang dipakejkan dengan Ramadan yang juga mempunyai seribu keberkatan dan keistimewaannya yang tiada tandingan.Di hamper fasa ketiga ini, kelebihan Ramadan itu bukan lagi menjadi tajuk perbincangan. Sewajarnya yang menjadi perhatian masa ini ialah bagaimana kita mahu merebut waktu-waktu dalam Ramadan ini dengan pengisian perkara-perkara yang sepatutnya demi menjana taqwa yang menjadi katalis dan dinamo dalam kehidupan. Taqwa bukan sahaja penting sebagai penentu hubungan dengan Allah SWT, malah taqwa juga berperanan membentuk gaya fikir dan tindak seseorang muslim.

Orang yang bertaqwa akan bersungguh-sungguh melakukan perkara kewajipan dalam agama. Orang yang bertaqwa juga akan bersungguh-sungguh menjaga hubungannya
dengan manusia lainnya. Bukankah hablun minallah dan hablun minannas itu perlu seiring? Taqwa yang menjadi tujuan, jika diraih akan menjadi bekalan sepanjang setahun sebelum datangnya Ramadan akan datang. Rasa takut dan harap akan membuatkan kita sentiasa dekat dan perlu kepada Yang Maha Esa. Rasa syukur dan cukup akan membuahkan ketaatan yang tidak berbelah bahagi. Justeru, jadilah muslim yang bertaqwa itu sebaik-baik manusia kepada Tuhannya. Taqwa itulah juga yang akan menjadikannya seorang manusia yang bermanfaat, menyantuni orang lain dalam masyarakat dan mengajak manusia lain kepada pengabdian yang hakiki kepada Allah Robbul Alamin.

Dr Hamidah Mat
Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FESS OUM)
Penasihat Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast