Lokasi nahas kemalangan maut mengorbankan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di Jalan Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka malam tadi.

ALOR GAJAH – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta di Jalan Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa Muhammad Arif Danieal Muhammad Razlan, 13, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, kedua-dua kenderaan itu sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Linggi menuju ke Kuala Sungai Baru.

“Bagaimanapun sebaik tiba ditempat kejadian, remaja berkenaan yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda telah merempuh bahagian belakang sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki.

“Kereta dipandu lelaki berusia 44 tahun itu sedang berhenti dan memberi isyarat ke kanan untuk belok memasuki lorong rumahnya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Arshad berkata, hasil pemeriksaan pegawai penyiasat mendapati kemalangan berpunca daripada faktor kegagalan mengawal kenderaan.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast