Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A. A. Anbalagan menunjukkan barangan rampasan dalam sidang media kejayaan tangkapan sindiket menjual kad ATM di IPD Serdang, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 21 APRIL 2022.

SERDANG – 10 individu warga tempatan dicekup di sekitar Puchong dan Gombak disyaki terlibat dalam sindiket ‘keldai akaun’ yang menawarkan pinjaman tidak wujud dan memaksa mangsa menyerahkan kad bank kononnya sebagai cagaran.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, semakan Record Commerial Crime Intelligence System (RCCIS) ke atas 38 kad ATM yang dirampas mendapati 10 kes melibatkan mangsa ditipu dalam urusan pinjaman wang tidak wujud dan tipu tawaran kerja.

“Kerugian adalah berjumlah RM245,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini.

Menurut beliau, modus operandi sindiket adalah membeli kad ATM dari pengedar sekitar Lembah Klang dengan harga antara RM1500 dan RM1800 dan kemudian kad-kad tersebut dijual pula kepada sindiket dengan harga RM2500 dan ke atas untuk setiap keping kad.

“Pemilik kad ATM disyaki menjual kad mereka kerana terpedaya dengan iklan pinjaman wang dalam laman sosial seperti Facebook yang meminta mereka menyerahkan kad ATM kepada sindiket ini sebagai cagaran.

“Selain itu mereka juga didapati menjual kad ATM kepada sindiket ini untuk memperolehi wang antara RM500 hingga RM800 sekeping manakala ada juga dalam kalangan mangsa tidak mengetahui bahawa kad ATM mereka akan digunakan untuk penipuan,” ujarnya.

Antara barang rampasan pada sidang media kejayaan tangkapan sindiket menjual Kad ATM bagi tujuan penipuan secara dalam talian IPD Serdang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 21 APRIL 2022.

Menurut Anbalagan, lapan unit telefon bimbit pelbagai jenama, 38 keping kad ATM pelbagai bank tempatan, 20 keping kad sim MYTPG (Singapura), wang tunai RM3,957 dan sebuah kereta Perodua Axia antara barangan yang dirampas dalam serbuan yang membawa kepada tangkapan 10 suspek itu.

Semakan rekod lampau mendapati lima individu yang ditangkap telah terlibat dalam penyalahgunaan dadah, ugutan jenayah dan penipuan.

Menurut beliau, sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif menjalankan kegiatan membeli dan menjual kad ATM untuk penipuan pinjaman tidak wujud di sekitar Lembah Klang semenjak awal tahun lepas.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda.

“Polis berharap masyarakat tidak mudah terpedaya dengan iklan yang ditawarkan dalam media sosial atau individu yang menawarkan untuk membeli kad ATM di pasaran,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast