KUANTAN – Penglibatan aktif Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang membantu menguruskan jenazah mangsa Covid-19 dihargai dengan pemberian sebuah van jenazah untuk kegunaan agensi itu.

Pengarahnya, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata. sumbangan van Toyota Hiace bernilai RM 145,000 dilakukan Majlis Agama Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

“Sejak awal penularan pandemik itu pada tahun 2020, APM Pahang telah menguruskan 215 pengebumian jenazah mangsa Covid-19 di negeri ini.

“Daripada jumlah itu, ia terdiri daripada 136 jenazah lelaki dan 79 jenazah wanita,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Che Adam berkata, pihaknya akan melatih kakitangan MUIP berkaitan ilmu Pertahanan Awam bagi penubuhan Pasukan Tindak balas Kecemasan Pertahanan Awam Komuniti (CDERT-C).

“Itu antara perancangan strategik dan usahasama antara pihak APM dan MUIP bagi terus membantu kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette