GCR civil servants salary scheme CUEPACS
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik usaha Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menubuhkan pasukan tindakan khas bagi menyemak semula pekeliling lama yang tidak lagi relevan.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pekeliling bereknaan perlu diberi nafas baharu selain membatalkan terus mana-mana yang sudah tidak relevan.

Menurutnya, usaha yang diambil JPA itu adalah selaras dengan agenda kerajaan yang mahu memastikan perkhidmatan awam kekal berdaya saing dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat serta pemudahcara kepada sektor ekonomi.

“Perkembangan pesat teknologi dan kemajuan negara ketika ini sudah tentu mengakibatkan banyak pekeliling lama tidak lagi sesuai dipraktikkan atau dilaksanakan berdasarkan perkembangan semasa.

“Maka, CUEPACS juga berharap JPA memberi penekanan kepada pekeliling yang sudah berkuatkuasa tetapi masih tidak dilaksanakan atau gagal dilaksanakan sepenuhnya oleh sesetengah jabatan dalam kerajaan ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Adnan, JPA juga perlu memantau setiap pekeliling yang sudah diluluskan oleh kerajaan supaya hak dan kebajikan warga penjawat awam tidak diabaikan dan sentiasa dilindungi sepenuhnya.

Menurutnya, penekanan terhadap pemantauan pekeliling yang dikuatkuasakan adalah penting bagi memastikan setiap objektif yang telah digarapkan oleh kerajaan untuk penjawat awam berjaya dilaksanakan dengan berkesan.

Adnan menegaskan pekeliling yang dikuatkuasakan oleh kerajaan telah menjalani suatu kajian terperinci sebelum ia boleh dilaksanakan dan sekiranya pekeliling tersebut tidak dilaksanakan dengan berkesan, ia menjadi satu kerugian kepada penjawat awam..

“Pekeliling tersebut bukanlah tidak sesuai dilaksanakan atau tidak relevan tetapi ia disebabkan keengganan sesetengah jabatan untuk melaksanakannya.

“Antara pekeliling yang sudah dikuatkuasakan dan dilihat tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya ialah tempoh kenaikan pangkat secara time-based berasaskan kecemerlangan bagi pegawai kumpulan pelaksana.

“Tindakan sesetengah jabatan yang tidak melaksanakan pekeliling ini sudah tentu memberi kesan motivasi kerja kepada penjawat awam dan begitu juga kebenaran penebusan awal award wang tunai Gantian Cuti Rehat sebanyak 80 hari yang dilihat masih lagi tidak dilaksanakan sedangkan pekeliling ini telah dikuatkuasakan bermula Januari 2022.

“Kelewatan pekeliling ini dilaksanakan seolah-olah manfaat yang patut diterima penjawat awam tidak diberikan keutamaan,” ujarnya.

Berikutan itu Adnan meminta JPA juga menubuhkan suatu jawatankuasa untuk memantau setiap pelaksanaan pekeliling yang telah diluluskan oleh kerajaan.

Justeru katanya, kerajaan sudah menggunakan banyak tenaga dan modal kerja bagi membuat sesuatu kajian kebolehlaksanaan sesuatu pekeliling.

“Maka adalah menjadi kerugian jika tiada jawatankuasa dalaman untuk mengaudit pelaksanaannya dan sudah tentu golongan sasaran iaitu penjawat awam tidak akan menerima manfaat untuk setiap pekeliling yang sudah dikuatkuasakan,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast