Home Nasional KDN mampu tangani isu etnik Rohingya lolos dari tahanan – Hishammuddin

KDN mampu tangani isu etnik Rohingya lolos dari tahanan – Hishammuddin

SUNGAI PETANI – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mampu menangani isu membabitkan etnik Rohingya yang meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap di Bandar Baharu pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, jelas beliau, pihaknya sedia membantu pihak KDN sekiranya mereka memerlukan.

Hishammuddin.

“Buat masa ini kita belum terima apa-apa permintaan daripada mana-mana agensi dan sebagai bekas menteri KDN saya tahu bahawa kementerian itu cukup berkemampuan untuk berhadapan sebarang situasi.

“Hubungan saya selaku menteri pertahanan dengan Menteri KDN, Datuk Seri Hamzah Zainudin cukup rapat dana apa saya yang diperlukan sebut saja kita akan bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada wujud penglibatan Kementerian Pertahanan dalam operasi pencarian etnik Rohingya yang melarikan diri daripada tahanan.

Terdahulu, Hishammuddin menghadiri Majlis Ramah Mesra serta Berbuka Puasa bersama warga Tentera Darat Malaysia (TDM) di Kem Lapangan Terbang di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut  menyampaikan sumbangan kepada 38 orang anak yatim dari Pertubuhan Rumah Anak Yatim, Daerah Kuala Muda di sini serta empat guru.

Hishamuddin menyampaikan duit raya kepada anak yatim dari Pertubuhan Rumah Anak Yatim, Daerah Kuala Muda di sini.

Selain itu, barang keperluan asas seperti beras dan peralatan sekolah turut disumbangkan kepada rumah anak yatim tersebut.

Turut disampaikan mock cek bernilai RM10,000 daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kepada Pengurusan Masjid An-Naim kem terbabit. – MalaysiaGazette