Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersedia sekiranya dipanggil semula oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu MySejahtera.

Katanya, beliau sudah memberi keterangan yang jelas ketika kali pertama dipanggil PAC mengenai pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera di Parlimen pada 14 April lepas.

Khairy memberitahu, setakat ini PAC belum menghubunginya untuk memberi keterangan sekali lagi.

“Belum lagi (dipanggil PAC), saya juga tidak pasti apa yang dimaksudkan (Pengerusi PAC), saya jelas dengan keterangan saya (sebelum ini).

“Kalau dia (PAC) nak panggil saya semula, panggillah ,” katanya selepas Majlis Pelancaran Program Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit Masjid di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Ahmad dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Semalam, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, kerajaan ‘kelihatan seperti keliru’ siapakah yang melantik KPISoft Sdn Bhd sebagai vendor aplikasi MySejahtera berikutan tiada kontrak formal antara syarikat itu dengan kerajaan.

Sementara itu ditanya sama ada MySJ Sdn Bhd yang dilantik menguruskan MySejahtera mempunyai akses terus kepada pangkalan data aplikasi itu dan boleh membuat pindaan rekod, Khairy berkata, ia tidak dibenarkan, malah pihak berkenaan perlu meminta kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM) terlebih dahulu.

“Apa sahaja aduan yang dia (MySJ) dapat sama ada oleh wakil syarikat mesti mendapatkan kebenaran pegawai KKM yang ada bersama sebab MySJ mengurus dan menyelenggara aplikasi itu,’ ujarnya.

Berhubung keputusan untuk memansuhkan keperluan daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera, Khairy berkata, pengumuman mengenainya akan dibuat pada minggu hadapan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast