Taman Areca Pinang Park
Taman Areca Pinang Park. Mayat mangsa jatuh sungai dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam sungai di Taman Areca Pinang Park, Lebuh Sungai Pinang 1 di sini malam tadi.

Mangsa, Muhammad Amiruddin Biddin, 21, dikatakan turun ke sungai dan berjalan sendirian sebelum dilihat terjatuh ke dalam sungai berkenaan oleh orang awam.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak,  A’azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 8.14 malam.

“Operasi mencari mangsa dibantu orang awam dan nelayan tempatan di lokasi menggunakan bot persendirian.

“Selain itu, operasi turut membabitkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan berpandukan lokasi tepat yang diberi saksi di tempat mangsa dilihat terjatuh,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Kata A’azelan, mangsa ditemui pada jarak kira-kira 15 meter pada pukul 10.37 malam.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan yang tiba di lokasi.

“Mayat mangsa diserah kepada pihak polis bagi tindakan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang bagi proses  bedah siasat,” katanya.

Tambah beliau, operasi yang tamat  pukul 11.13 malam itu membabitkan seramai 24 anggota termasuk dari BBP Bagan Jermal dan dua pegawai kanan. – MalaysiaGazette