Madad membina masjid yang akan beroperasi 24 jam sebagai pusat sehenti, lengkap dengan 20 kapsul hotel dan bilik keluarga percuma.

SUNGAI PETANI – Murtadha Dakwah Cetre (Madad) bakal muncul sebuah pusat komuniti Islam pertama bertaraf antarabangsa di negara ini dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM35 juta.

Pengarah Urusan Madad, Mohammad Yaakub Yusra Mohd. Yusof berkata, pusat komuniti yang dibangunkan di kawasan seluas tiga hektar sejak 2018 itu  beroperasi di Kampung Teluk, Sungai Layar di sini.

Menurut beliau, projek pembangunan itu kini memasuki fasa kedua dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2025.

Menurutnya, pusat komuniti itu akan dilengkapi dengan sebuah masjid berasaskan ilmu falak dan beroperasi 24 jam yang diinspirasi Masjid Nabawi di Madinah dan kapsul hotel dengan nilai RM6.3 juta.

Turut dibina pusat tahfiz integrasi dan pusat pengurusan jenazah. rumah warga emas, stadium e-sports, hub sukan sunah seperti memanah, berenang, berkuda serta penyediaan khidmat pengurusan jenazah.

“Kesemua perkhidmatan dan kemudahan yang sediakan itu nanti akan ditawarkan secara percuma.

“Konsep yang diketengahkan itu bersesuaian dengan misi penubuhannya untuk menjadi organisasi yang menyediakan pendidikan, dakwah, amal dan sistem automasi untuk ummah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada lawatan media selepas majlis pelancaran ‘Ramadan Bersama Ekonomi Kita’ di Madad di Kampung Teluk, Sungai Layar di sini baru-baru ini.

Pengarah Urusan Madad, Mohammad Yaakub Yusra Mohd. Yusof.

Mohammad Yaakub Yusra menambah, pusat komuniti Islam itu mampu direalisasikan kerana pada masa ini Madad mempunyai ekosistem sendiri untuk memperoleh pendapatan pada setiap bulan dalam tempoh jangka masa panjang.

Jelas beliau,, antara perniagaan yang diusahakan Madad sekarang adalah pelaburan saham dan kripto patuh syariah, percetakan buku digital, penternakan ikan dan kambing serta dan beberapa perniagaan lain termasuk pertanian.

“Alhamdulillah pada masa ini, Madad memperoleh pendapatan menerusi pelaburan saham dan kripto yang melebihi RM1 juta dan percetakan digital pula kira-kira RM100,00O  sebulan.

“Pendapatan lain pula.melibatkan jualan hasil pertanian dan penternakan yang meraih pendapatan RM150,000 hingga RM200,000 sebulan,” ujarnya.

Pusat tahfiz integrasi yang dibina oleh Madad.

Selain itu, Mohammad Yaakub Yusra memberitahu, jumlah pelajar yang mengikuti pengajian di Madad adalah seramai 40 pelajar yang berusia antara 12 hingga 14 tahun.

Bagaimanapun, menurutnya, ketika ini pihaknya masih bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk membiayai kos pengajian pelajar terbabit.

“Buat masa sekarang disebabkan Madad masih di fasa pembangunan, maka kita masih memerlukan bantuan dan insya-Allah di masa hadapan, kita berimpian besar untuk tidak buat apa-apa kutipan lagi,” katanya.

Sementara itu, Madad sebelum ini dikenali sebagai Pusat Dakwah Darul Murtadha dan pusat komuniti Islam itu merupakan inspirasi abangnya, Allahyarham Ustaz Murtadha Mohd. Yusof yang meninggal dunia dalam kemalangan pada Januari 2018. – MalaysiaGazette

Madad menceburi pelbagai bidang perniagaan antaranya penternakan ayam.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast