Lee Ching Hin memperkatakan sesuatu kepada peguamnya selepas terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, Melaka membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah enam tahun lalu.

MELAKA – Seorang penjaja mengesat air mata kegembiraan apabila terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi Ayer Keroh hari ini membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah enam tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Maidzuara Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan tertuduh Lee Ching Hin, 42, di akhir kes pembelaan.

Menurutnya, tertuduh memilih memberi keterangan bersumpah dan mengemukakan dua saksi pembelaan apabila diperintah membela diri di akhir kes pendakwaan pada 28 Oktober 2021.

Mahkamah juga katanya, mendapati polis tidak menangkap tertuduh di dalam kereta dan tiada keterangan bagaimana beg sandang berisi dadah itu berada di dalam kereta di tempat duduk hadapan.

“Setelah meneliti semua fakta kes, mahkamah memutuskan tertuduh berjaya membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Tertuduh dengan ini dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan,” katanya di akhir kes pembelaan di Kompleks Mahkamah Melaka di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mengedar dadah heroin seberat 91.3 gram di tempat letak kenderaan di 124-K, Jalan Mahindasa, Taman Bukit Serindit, Bukit Serindit pada jam 1.45 tengah hari 23 September 2016.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, membawa hukuman gantung sampai mati, jika disabitkan.

Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952, iaitu kesalahan memiliki 2.3 gram dadah morfin pada masa, tarikh dan di tempat sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Chin Hin ketika ditemui di luar kamar mahkamah gembira dan mengesat air mata kegembiraan sebaik dibebaskan sambil bersalaman dengan peguamnya, Tiu Leong Kim.

“Hampir enam tahun saya ditahan di Penjara Sungai Udang, Melaka, akhirnya hari ini saya dibebaskan,” katanya ringkas sebelum turut dilihat menghubungi ibu bapanya.

Sepanjang perbicaraan kes, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muzila Mohamed Arsad memanggil 11 saksi memberi keterangan manakala pembelaan seramai tiga orang termasuk tertuduh.- MalaysiaGazette