Empat individu termasuk remaja bawah umur didakwa berhubung kes meriam karbaid di Mahkamah Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Dua lelaki masing-masing didenda RM100 selepas didapati bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyalakan meriam karbaid pada 7 April lalu.

Manakala seorang lagi rakan mereka didenda RM100 kerana merakam dan menularkan perbuatan itu di media sosial.

Tertuduh, Muhammad Shahrul Izzuan Kamaruzaman, 28, dan Muhammad Nawar Md. Shariff, 28, bersama seorang lagi remaja bawah umur sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menyalakan meriam karbaid yang diletakkan di dalam paip polivinil klorida (PVC) bertujuan menembak mercun ke udara.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Permatang Rawa di hadapan Kedai Makan Pokok Nyok di Bukit Mertajam di sini kira-kira pukul 11 malam pada 7 April lalu.

Atas kesalahan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman penjara sebulan atau denda RM100 atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah.

Bagi tertuduh berusia 17 tahun pula, dia dibenarkan diikat jamin oleh ibu bapa atau penjaga sebanyak RM1,000 sementara menunggu laporan akhlak bagi sebutan semula kes pada 26 Mei depan.

Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh Abd Rahman Noorudin, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja memviralkan video cara bermain mercun jenis meriam karbaid di tempat awam dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat, masa dan hari yang sama.

Abd Rahman didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali. manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Catherine Joysce.- MalaysiaGazette