Home Nasional Video penguat kuasa kastam lepas tembakan tehadap lori tular

Video penguat kuasa kastam lepas tembakan tehadap lori tular

JOHOR BAHRU – Beberapa das tembakan dilepaskan oleh penumpang kenderaan dipercayai milik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas sebuah lori dilihat cuba mengundur dan melanggar kenderaan yang dinaiki anggota penguat kuasa itu.

Kejadian dipercayai berlaku di Nusa Jaya itu sempat dirakam oleh seorang pengguna jalan raya menerusi akaun facebook bernama Alex Law sebelum ia tular di media sosial.

Menerusi video berdurasi satu minit 22 saat itu memaparkan kenderaan kastam pada mulanya membunyikan siren bagi meminta lori berkenaan untuk berhenti.

Bagaimanapun secara tiba-tiba, lori tersebut berhenti secara mengejut di tengah-tengah jalan sebelum cuba mengundur dan mahu melanggar kenderaan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, video berkenaan turut menyaksikan anggota JDKM kemudian telah bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar lori berkenaan.

Lori itu bagaimanapun terus melarikan diri dan memandu secara melulu dalam keadaan tayar yang dipercayai pancit.

Bagaimanapun sehingga setakat ini polis belum boleh mengesahkan kejadian berkenaan.- MalaysiaGazette