Penggunaan katil bagi kes kritikal di seluruh negara semalam menunjukkan bawah 50 peratus.

KUALA LUMPUR – Semua hospital menunjukkan penggunaan katil bagi kes kritikal Covid-19 tidak melebihi 50 peratus di seluruh negara, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, begitu juga kes penggunaan katil bukan ICU turut merekodkan penggunaan bawah 50 peratus, termasuk di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Dr. Noor Hisham Abdullah

Manakala jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan semalam adalah 68 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator lapan peratus.

Menurutnya, sebanyak 234 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital dalam tempoh sama.

Daripada jumlah itu, 102 kes pada kategori 3, 4, dan 5 serta 132 kes kategori 1 dan 2.

Selangor menyaksikan kes kemasukan tertinggi dengan 64 kes, Perak (28), Kuala Lumpur (23), Johor (20), Kedah (15) dan Sarawak (14).

Kes baharu yang direkodkan semalam pula sebanyak 6,342 kes dengan 42 kes pada kategori 3,4 dan 5.

Daripada 42 kes  itu, 13 kes (30.95%) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi;
14 kes (33.33%) telah menerima dua  dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak
(booster); 15 kes (35.71%) telah menerima dos penggalak, 15 kes (35.71%) berumur 60 tahun dan ke atas; dan 23 kes (54.76%) mempunyai komorbid.

Kes sembuh pula sebanyak 9,111 kes dengan 4,300,558 kes kumulatif.

Setakat tengah malam tadi, kes baharu jangkitan Covid-19 yang direkodkan sebanyak 6,342 kes menjadi angka terkumpul 4,421,443.

Menurut Dr. Noor Hisham, kes yang memerlukan rawatan di ICU ialah 91 kes iaitu 57 kes disahkan Covid-19, manakala 34 kes lagi dalam kategori disyaki, kemungkinan dan siasatan.

Sebanyak 61 kes memerlukan alat bantuan pernafasan iaitu 35 kes disahkan Covid-19, 26 kes lagi disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan. – MalaysiaGazette