Sebahagian pelajar anak yatim yang menerima sumbangan Program Jom Ke Sekolah Bersama CSR yang diadakan di Rumah Bakti Al Kausar, Bandar Baru Bangi, Selangor.

KUALA LUMPUR – Hampir 900 anak-anak yatim dari seluruh negeri Selangor telah menerima kelengkapan persekolahan sesi 2022/2023 yang telah bermula pada akhir Mac yang lalu melalui Program Jom Ke Sekolah Bersama CSR.

Program kerjasama di antara Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) ini telah mula dianjurkan sejak tahun 2018 bagi menyantuni anak-anak dari pusat kebajikan anak yatim di sekitar negeri Selangor.

Pada tahun ini, CSR telah memperuntukan RM150,000 bagi menzahirkan program ini.

Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat CSR, Rozita Ahmad berkata, inisiatif ini merupakan salah satu daripada teras tanggungjawab sosial korporat syarikat bagi menyantuni masyarakat serta komuniti yang memerlukan.

”Program yang telah masuk tahun kelima ini menyasarkan lebih ramai lagi anak-anak yatim dalam persiapan mereka ke sesi persekolahan baharu. Pada tahun lepas, 17 pusat kebajikan telah dikenalpasti dan tahun ini kita telah kembangkan kepada 19 pusat kebajikan anak yatim di sekitar negeri Selangor,” katanya sambil berharap sumbangan ini dapat memberi suntikan semangat serta keceriaan kepada anak-anak ini.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Datuk Seri Khanafi Hussin, pula menzahirkan penghargaan terima kasih kepada rakan strategik korporat (CSR) di atas sumbangan yang diperuntukan bagi menjayakan program tersebut.

”Baju sekolah yang digunakan oleh anak anak yatim melalui sumbangan CSR ini adalah dijahit sendiri oleh asnaf-asnaf yang mendapat latihan daripada Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd,” ujarnya. – MalaysiaGazette