Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Mutalif Abd Rahim.

KUALA LUMPUR – Jualan Gempak Raya 2022 dengan potongan harga 50 peratus di Tapak Pasar Pagi PJS 2D Taman Medan adalah antara inisiatif UMNO Barisan Nasional (BN) mendekati pengundi kawasan Petaling Jaya ketika menjelangnya sambutan Aidilfitri.

Malah ianya juga platform untuk parti itu terus berbakti kepada rakyat pada bulan Ramadan ini.

Mengakui dirinya tidak mahu bercakap politik memandangkan inisiatif jualan murah barangan asas bagi meringankan beban masyarakat setempat lebih utama, namun pada masa sama Ketua Bahagian UMNO Petaling Jaya, Datuk Mutalif Abdul Rahim akuinya rakyat kini semakin celik.

Pembeli ambil kesempatan borong pelbagai keperluan dapur sempena Program Jualan Gempak Raya di Pasar Taman Medan, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 APRIL 2022.

“Ini adalah kawasan pembangkang dan saya sendiri bukanlah wakil rakyat di sini namun inisiatif-inisiatif membantu rakyat dan berbakti ketika masyarakat susah sudah menjadi amalan UMNO dan BN sejak dulu lagi.

“Kita tidak beza-bezakan mereka walaupun tidak undi kita, kita teruskan semua usaha kita tanpa berputus asa atau memberi alasan. Contohnya program Jualan Gempak Raya ini bukanlah yang baharu sebaliknya ini kali kedua.

“Saya pernah anjur program ini sekitar 2017 kemudian seperti anda maklum selepas Pilihan Raya Umum (PRU-14) macam-macam ketidakstabilan politik kemudian datang pula pandemik Covid-19 yang menyebabkan kita tidak dapat menyambut perayaan hampir tiga tahun ini.

“Kali ini kita kembali dengan inisiatif ini kerana bukan sahaja dapat galakkan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaliknya juga amalan semua pemimpin BN UMNO dalam meneruskan khidmat bakti termasuk menyumbang kepada golongan yang memerlukan pada setiap masa.

“Saya harap sangat rakyat dapat manfaat terutamanya yang menyambut Hari Raya nanti, ringanlah sedikit bebanan itu, seperti kata menteri tadi, walaupun harga ayam itu dikawal namun ianya tetap naik lagi-lagi ketika musim perayaan. Subsidi harga sehingga 50 peratus harap membantu.

“Sekurang-kurangnya 1,000 keluarga akan mendapat faedah ini, rasanya jualan ini akan tamat pada bila-bila masa kerana sejak 7 pagi lagi ramai penduduk sudah menunggu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar hadir program Jualan Gempak Raya anjuran UMNO Petaling Jaya.

Kata Mutalif yang juga Pengerusi BN Petaling Jaya, beliau cukup teruja dengan kehadiran masyarakat setempat dengan jumlah begitu ramai malah rata-ratanya melahirkan rasa syukur dan berterima kasih.

“Saya tahu saya tidak sepatutnya bercakap politik tetapi hakikatnya kini rakyat sudah pandai menilai yang mana satu kaca dan mana satu permata. Bukan riak tetapi pengundi kita celik dan sedia maklum dengan jasa-jasa UMNO BN.

“Mereka pastinya akan memilih BN pada pilihan raya akan datang, ramai serik dan tampil meluahkan perasaan ketika kami turun padang bertemu mereka, mendengar sendiri isi hati mereka.

“Walaupun ini kawasan pembangkang tetapi pada masa sama sambutan yang diberikan kepada UMNO BN di sini cukup menggalakan tidak kira kaum atau latarbelakang. Rakyat tahu siapa yang hendak mereka pangkah nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika bercakap tentang Jualan Gempak Raya, Mutalif mendakwa Kerajaan Negeri Selangor juga ada melaksanakan inisiatif jualan murah barangan keperluan namun ianya bukanlah sehingga 50 peratus.

“Saya difahamkan Kerajaan Negeri Selangor ada buat program seperti ini tetapi untuk empat barangan sahaja, itupun potongan sehingga 50 peratus dan bukan tetap manakala kita ada 13 barangan dengan potongan tetap 50 peratus.

“Tapi tidak apalah, kita hendak bantu rakyat tidak boleh cakap politik. Insya-Allah, rakyat tahu,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast