Annuar Musa

ALOR SETAR – Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa menyifatkan dokumen ‘PasLeaks’ yang didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin UMNO bukan sesuatu yang luar biasa dan tidak perlu diperbesarkan.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, berdasarkan pemahamannya setelah meneliti dokumen itu, ia hanyalah catitan pemimpin Pas dalam mencari fakta mengenai pandangan beberapa pemimpin parti lain.

“Saya tidak tahu dokumen itu benar atau tidak. Katakanlah ia benar, pada saya ia bukan satu perkara macam ada perancangan, pada saya, tidak. Pada pemahaman saya ia catatan-catatan ‘siri libat urus’ yang mereka (pemimpin Pas) buat dalam ‘fact finding‘.

“PAS cuba memahami apakah pandangan daripada tokoh-tokoh pelbagai parti, ada daripada UMNO ada daripada Pejuang dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai isu berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya dokumen itu benar dan kandungannya boleh dianggap sebagai perancangan untuk menjatuhkan UMNO, ia juga bukan perkara yang luar biasa kerana sudah menjadi kelaziman bagi setiap parti yang berlawan dalam pilihan raya ingin menjatuhkan lawan masing-masing.

“Kecuali parti itu berada dalam gabungan kita dan tiba-tiba dia buat perkara yang menentang kita. Itu peliklah. Tapi kita, UMNO yang mengisytiharkan tidak bersama dengan mereka (Pas) dalam pilihan raya akan datang.

“Jadi kalau mereka sedang membuat penilaian untuk mengetahui apa yang mereka patut lakukan, pada saya itu perkara lazim dan kita tidak ada hak untuk mempertikaikan,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan kesahihan dokumen itu tidak dapat ditentukan, adalah lebih baik pihak-pihak yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan perkara itu bertanya secara bersemuka kepada pemimpin PAS dan bukannya melalui media sosial.

“Saya suka berbincang, berjumpa secara langsung, bercakap secara spekulasi ini kadang-kadang tak sampai ke mana-mana. Sebab itu pada saya tidak perlu kita memperbesar-besarkan dan kita cari jalan. Kalau kita rasa nak dapatkan maklumat tepat kita boleh jumpa dan mereka berada bersama-sama kita dalam kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Perancangan PAS dan Bersatu tu mmg bukan luar biasa..tp yg akar umbi nak tau ialah peranan pengkhianat2 dalam UMNO sendiri mcm Hishamudin tu…

Comments are closed.