Exco Pertanian dan Perindustrian Negeri Perlis, Nurulhisham Yaakob (kiri) melawat ke gerai jualan harum manis ketika hadir Karnival Harum Manis Perlis di Pasaraya Aeon AU2 Setiawangsa, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Karnival Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Harumanis Perlis 2022 yang diadakan di sini selama dua hari menyasarkan jualan sebanyak RM150,000 dengan jangkaan pengunjung antara 3,000 hingga 5,000 orang pada hujung minggu ini.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama kerajaan negeri Perlis menganjurkan karnival selama dua hari itu di pusat beli belah AEON Setiawangsa disertai 20 usahawan.

Turut dipasarkan pada karnival tersebut produk makanan berasaskan mangga iaitu jeruk, pulut dan coklat.

Antara buah harum manis yang dijual di Karnival Harum Manis Perlis di Pasaraya Aeon AU2 Setiawangsa, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 APRIL 2022.

MalaysiaGazette difahamkan pengeluaran mangga harumanis pada tahu ini berkurangan kepada 1,400 metrik tan (mt) berbanding 2800 mt pada 2021 berikutan cuaca tidak menentu serta taburan hujan yang tinggi di Perlis.

Mangga harumanis memiliki kualiti premium dengan isi yang lebih manis dan bersari selain aromanya berbeza daripada mangga jenis lain.

Exco Pertanian dan Perindustrian Negeri Perlis, Nurulhisham Yaakob melancarkan gimik sempena Karnival Harum Manis Perlis di Pasaraya Aeon AU2 Setiawangsa, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 APRIL 2022.

Exco Pertanian dan Asas Tani Perlis, Nurulhisham Yaakob berharap lebih ramai pengunjung JTDL membeli mangga harumanis.

Sebelum ini, Nurulhisham mencadangkan marumanis mangga harumanis gred A dijual pada harga RM35 sekilogram (kg), gred B (RM30/kg) dan gred C (antara RM25 hingga RM15/kg).

“Faktor cuaca yang tidak menentu dan kenaikan kos pertanian menyebabkan harga mangga Harumanis meningkat sebanyak 10 peratus berbanding musim lalu.

“Orang ramai juga boleh membeli harumanis secara pakej iaitu RM110 sekotak dengan berat tiga kilogram bagi premium A dan RM185 bagi berat lima kilogram. Manakala bagi gred premium B, sekotak harumanis dengan berat tiga kilogram dijual pada harga RM95 dan RM160 bagi berat lima kilogram,” katanya.

Dalam pada itu, pelbagai inisiatif juga telah di ambil bagi memastikan petani dapat memasarkan mangga harumanis ke peringkat lebih tinggi dan tidak berlaku lambakan di pasaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast