Warga Pakistan yang melakukan aktiviti paragliding ditemui tersangkut pokok pada ketinggian 40 kaki di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.Ihsan foto: Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing yang melakukan aktiviti paragliding cedera apabila tersangkut pada sebatang pokok Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor hari ini.

Bagaimanapun Pengarah Jabatan Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, lelaki itu meninggal dunia semasa dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, bilik gerakan operasi menerima panggilan kecemasan mengenai itu pada jam 4.56 petang dan bertindak atas maklumat, pasukan bomba penyelamat dari Balai Polis dan Penyelamat (BPP) Kuala Kubu Bharu telah bergegas tempat kejadian enam minit kemudian.

“Pasukan kami telah mengakses untuk tiba ke tempat kejadian mangsa tersangkut itu menerusi trek hiking 100 meter dari tapak take off bukit tersebut.

“Sejurus tiba di lokasi pemerhatian pasukan mendapati kejadian membabitkan seorang mangsa lelaki warga Pakistan yang terlibat dalam aktiviti paragliding (payung luncur) tersangkut di puncak pokok balak berketinggian 40 kaki di tepi cerun Bukit Batu Pahat itu.

“Akibat insiden itu, mangsa telah tidak sedar diri dengan mengalami pendarahan dan patah kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Warga Pakistan yang melakukan aktiviti paragliding ditemui tersangkut pokok pada ketinggian 40 kaki di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.Ihsan foto: Bomba Selangor.

Tambah beliau, penduduk Orang Asli yang menyedari kejadian itu memanjat pokok tersebut dan mengikat mangsa menggunakan webing paraglading bagi mengelak mangsa terjatuh.

Menurutnya, pasukannnya telah memulakan misi menyelamat dan menurunkan mangsa dari pokok tersebut.

“Selepas hampir dua jam, akhirnya mangsa berjaya diturunkan ke bawah pokok oleh anggota bomba sekitar jam 7 petang tadi.

“Mangsa dibawa keluar dari hutan dan dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan lanjut malangnya telah disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan oleh paramedik dalam ambulans,” ujarnya. – MalaysiaGazette