Tengku Zafrul Abdul Aziz Kuala Selangor
Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Malaysia merupakan sebuah ekonomi terbuka dengan kadar pertukaran mata wang yang ditentukan pasaran, pergerakan turun naik nilai ringgit dipengaruhi oleh kedua-dua faktor global dan domestik.

Antara faktor tersebut adalah perubahan dalam sentimen pelabur, landasan pemulihan pandemik dan dasar normalisasi di kalangan negara ekonomi maju.

Disebabkan itu, penyusutan nilai ringgit secara umumnya turut mengikuti jejak penyusutan mata wang utama dan serantau, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Menurut beliau, prospek mengetatkan dasar monetari secara lebih agresif oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) dengan kenaikan kadar 50 mata asas dijangka dilaksanakan pada bulan Mei serta kelemahan keseluruhan mata wang di rantau ini merupakan sebahagian faktor yang turut mempengaruhi pergerakan nilai ringgit baru-baru ini.

”Perkara ini dapat dilihat menerusi kejatuhan mata wang Yuan yang mempunyai hubung kait positif dengan ringgit kerana China merupakan salah satu daripada rakan dagang utama Malaysia.

”Tambahan pula, ringgit, seperti mata wang asing Asia yang lain turut dipengaruhi oleh pengurangan kecairan global oleh Fed AS,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Semalam, ringgit ditutup lebih rendah dengan mencapai paras 4.30 berbanding dolar AS pada Jumaat, paras yang kali terakhir dicatatkan pada Jun 2020.

Mata wang tempatan merosot kepada 4.3230/3270 pada lewat petang berbanding dolar AS daripada 4.2875/2910 sewaktu ditutup pada Khamis.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, aktiviti dalam pasaran mata wang ringgit kekal teguh.

Setakat ini, purata dagangan tukaran asing dalam pesisir harian ialah AS$12.6 bilion berbanding AS$11.3 bilion pada 2021, dengan purata turun naik 3.9% (purata 2021: 4.6%).

Ujarnya, nilai ringgit yang fleksibel akan terus memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia dengan memudahkan pelarasan sektor luaran yang bersesuaian dan melindungi ekonomi domestik daripada kejutan global yang memberikan kesan negatif.

Menteri Kewangan itu menambah, kedudukan luaran Malaysia juga kukuh, termasuk lebihan akaun semasa yang baik dan kedudukan pemiutang luaran bersih telah meningkatkan keupayaan negara dengan ketara untuk bertahan daripada ketidaktentuan dan kejutan luaran tersebut.

Asas-asas Malaysia kekal teguh seperti yang ditunjukkan oleh pertumbuhan dan daya saing eksport yang konsisten, rizab antarabangsa yang mencukupi serta trajektori inflasi yang rendah berbanding negara di rantau ini.

”Kesemua ini dijangka dapat terus menampan penurunan ringgit,” katanya.

Dari segi inflasi, unjuran terkini IMF menjangkakan peningkatan 5.7% dalam ekonomi maju dan 8.7% dalam negara yang berkembang pesat dan negara membangun.

Unjuran ini adalah 1.8 dan 2.8 mata peratusan lebih tinggi daripada unjuran pada bulan Januari.

”Bagi Malaysia, dasar kawalan harga yang dikenakan oleh kerajaan serta subsidi yang diperuntukkan untuk Petroleum RON95 dan pelbagai barangan makanan akan melindungi rakyat daripada sebarang implikasi tekanan inflasi.

”Kadar inflasi Malaysia pada tahun ini dijangka berada antara 2.2% hingga 3.2% (2021: 2.5%) iaitu lebih rendah berbanding negara lain dalam ASEAN juga sejajar dengan unjuran oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Situasi ini disokong oleh pengumuman Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini mengenai kadar inflasi bagi bulan Mac 2022 yang kekal pada kadar yang sama dengan bulan Februari iaitu 2.2%.

Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia akan terus memantau kedua-dua risiko kewangan dan bukan kewangan terhadap ekonomi negara termasuk ketegangan geopolitik baru-baru ini dan bagaimana ia akan menjejaskan rantaian bekalan global yang mungkin memberi tekanan inflasi yang lebih tinggi serta meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran pertukaran asing serta pasaran kewangan di Malaysia.

”BNM akan terus mengukuhkan kelancaran operasi pasaran pertukaran asing tempatan dengan sentiasa memastikan kecairan yang mencukupi serta memastikan perniagaan-perniagaan boleh merancang dan menjalankan aktiviti perdagangan dan transaksi pelaburan dengan lebih yakin,” katanya. – MalaysiaGazette