shahrir samad src majlis peguam
Shahrir Samad

KUALA LUMPUR – Kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas 22 bulan memerintah negara ini adalah disebabkan kegagalan mereka sendiri.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, sepanjang pemerintahan, PH terlalu percayakan kepada propaganda sendiri sehingga menjejaskan kebolehan mereka untuk mengurus tadbir negara.

“Pendek kata, kerajaan PH jatuh kerana kelemahan sendiri dan ini menjadi punca kekalahan mereka secara bersiri di pilihan raya kecil yang berlaku selepas PRU14.

“Ia bukannya konspirasi UMNO, tapi kejayaan politik UMNO itu telah mencetuskan konspirasi di kalangan pemimpin PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk tinggalkan kerajaan PH,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi temubual dengan wakil CNA mengenai politik negara sejak PRU14, semalam.

Kata Shahrir, sepanjang pentadbiran PH sebenarnya dua Pelan A dan Pelan B dalam parti gabungan itu.

“Pelan A adalah untuk Tun Dr. Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri ketujuh, tetapi beliau pula hendak menubuhkan ‘kerajaan perpaduan’nya sendiri. Ini tidak diterima oleh PPBM dan bekas pemimpin PKR.

“Justeru, maka berlakulah Pelan B dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas menjatuhkan Dr. Mahathir dan kerajaan PH melalui Langkah Sheraton,” katanya.

Ketika ditanya oleh wakil CNA, di mana Datuk Seri Najib Razak ketika itu, beliau menjawab, mantan Perdana Menteri itu patuh kepada keputusan parti yang bersetuju menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepimpinan Muhyiddin.

“Kemudian saya diaju lagi soalan, macam mana Najib boleh kekal popular dengan penjenamaan baharunya ‘Bossku’, disambut meriah semasa kempen pilihan raya, terutama PRN Melaka dan PRN Johor. Adakah pengaruh Najib suatu yang kritikal bagi UMNO dan BN?

“Jawapan saya mudah saja. Ramai yang terpegun melihat ketabahan Najib berdepan dengan pelbagai tuduhan di pelbagai mahkamah dan juga dakwaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Najib kena bayar cukai berbilion ringgit dan satu keluarga terkena tekanan. Tambah pula dengan tuntutan sivil. Ianya ‘overkill’ saya kata, dan bila ‘overkill’ boleh membawa kepada perasaan kesian iaitu simpati dan boleh bertukar kepada empati,” ujar beliau,

Keduanya, kata beliau, halaman Facebook Najib telah membawa pandangan dan penjelasan darinya tanpa sekatan atau suntingan seperti berlaku di media urus perdana.

Facebook adalah media yang paling demokratik dan tidak dikawal oleh kepentingan tertentu.

Kata Shahrir, mereka yang mengikuti media sosial Facebook Najib kerana fakta dan hujahan munasabah di halaman itu.

“Sehingga ia lebih berkesan dari bercakap dalam Dewan Rakyat kerana dalam dewan itu, walaupun Parlimen ialah institusi tertinggi demokrasi, tapi pelbagai pihak boleh berpakat untuk memperlekehkan hujahan Najib.

“Sebaliknya, di dunia Facebook, ianya bergantung pada jumlah yang bersetuju dengan fakta dan asas hujahan. Itu berasas, yang membuat Najib popular dan berpengaruh,” katanya.

Ketiga, kata beliau lagi, ramai merasa secara langsung manfaat dari kepimpinan Najib dan BN sebelum PRU14.

Katanya, rakyat tahu ketika itu lebih baik dari masa PH memerintah selepas PRU14 dan sehingga kini, masih terpakai konsep bantuan bersasaran dan konsep kumpulan sosio ekonomi B40, M40 dan T20.

“Konsep sepadu UTC masih menjadi tumpuan. Klinik 1Malaysia dirindui. Begitu juga Pusat Komputer 1Malaysia.

“Terlalu banyak peninggalan Najib yang bermanfaat kepada rakyat yang tidak dapat dilupuskan oleh Dr. Mahathir, DAP dan PKR atau oleh PN sendiri. Sebab itu, ramai yang mengenang jasanya,” katanya.

Mengenai soalan pendirian Najib terhadap UMNO dan BN yang dilihat agak kritikal, Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, Najib tetap bersama parti.

Kata beliau, Najib menjadi inspirasi kepada ahli-ahli parti apabila melihat seorang pemimpin yang sedang dilanyak begitu hebat, tetapi tetap bersemangat mempertahankan parti.

“Tidak sepatah pun meminta pertolongan dari parti, tetapi tanpa sepatah tetap menolong parti,” jelas beliau. – MalaysiaGazette