Mohd Shafie Apdal

LABUAN – Parti Warisan (Warisan) akan bertanding di beberapa kerusi Parlimen di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang, kata Presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Shafie berkata, keputusan itu diambil bagi meneruskan saingan parti yang berpangkalan di Sabah itu di Semenanjung selepas kemunculan pertamanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lepas.

“Bukan sahaja kami mahu mempertahankan kemenangan (PRU14) di peringkat negeri Sabah, bahkan juga mahu menawarkan diri di Semenanjung,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sumbangan dan Iftar Warisan Labuan di sini semalam.

Menurut Shafie, pucuk pimpinan parti itu akan meneliti kawasan Parlimen di Semenanjung yang berpontensi ditandingi dan boleh dimenangi pada PRU15 itu.

Mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyatakan kesediaan  pembangkang meneruskan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang selepas 31 Julai depan, Shafie berkata, Warisan tidak pernah menyokong agar MoU itu diteruskan.

“Apa yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, itu adalah hak dia untuk bersuara, bagi saya, saya tidak setuju dari awal lagi, sebab itu saya tidak menandatanganinya,” katanya.

Pada Mac lepas, Anthony ketika membahaskan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat berkata pembangkang bersedia meneruskan MoU transformasi dan kestabilan politik yang dimeterai Pakatan Harapan (PH) dengan Kerajaan Persekutuan pada September tahun lalu, selepas tarikh 31 Julai depan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast