Norazlina Zakaria

SHAH ALAM – Worldwide Holdings Berhad (WHB) tidak menolak kemungkinan untuk menaja lebih ramai pelajar tahfiz melanjutkan pengajian di peringkat universiti sama ada di dalam negara mahupun luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, pihaknya memberi kelonggaran kepada mereka untuk memilih universiti yang sesuai dan boleh meningkatkan kebolehpasaran graduan tahfiz di pasaran kelak.

“Setakat ini kita beri mereka pilihan, dia boleh sendiri universiti mana mereka nak pergi, kalau dia nak pergi Oxford (universiti) pun saya taja, tapi dia kena pilih universiti tempatan.

“Setakat ini kita ada dua orang (taja pelajar tahfiz) sebab kita baru mula akhir tahun lepas.

“Tak ada lah ramai sangat, cuma dua tiga orang macam itu, kalau ada rezeki lagi kita akan tambah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Ramadan bersama kakitangan WHB di Mercu Worldwide, di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad, Datin Paduka Norazlina Zakaria (kanan) menyerahkan agihan Wakalah Zakat kepada Ketua Divisyen Perhubungan Stakeholder dan Komunikasi Korporat Lembaga Zakat Selangor (LZS) Datin Setia Norajun Ainun Mohd Hashim (tengah) pada Majlis Iftar Ramadan di Mercu Worldwide, Shah Alam.

Terdahulu beliau menyerahkan agihan Wakalah Zakat kepada Ketua Divisyen Perhubungan Stakeholder dan Komunikasi Korporat Lembaga Zakat Selangor (LZS) Datin Setia Norajun Ainun Mohd Hashim.

WHB memperuntukkan RM250,000 Wakalah Zakat untuk diagihkan LZS kepada golongan asnaf fakir miskin di Selangor melalui program ‘Kasihku Zakat Selangor’.

Dalam pada itu, WHB merancang untuk memberi sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM2.8 juta kepada LZS yang dijangka diserahkan pada minggu hadapan.

“Insya-Allah kalau tidak ada aral melintang, mungkin minggu depan kita akan menyumbang sebanyak RM2.8 juta lagi kepada LZS daripada kumpulan wang kita.

“Mudah-mudahan zakat kita tahun ini diredhai dan lebih banyak rezeki pada tahun depan yang akan datang,” katanya.

WHB merupakan anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor yang telah berkembang sebagai sebuah konglomerat dalam empat sektor perniagaan utama, meliputi Hartanah, Pengurusan Alam Sekitar, Peranti Perubatan, dan Tenaga.

Kini Worldwide Holdings diktiraf sebagai peneraju utama dalam perkhidmatan Pengurusan Alam Sekitar dan merupakan salah satu pemain utama dalam sektor pembangunan hartanah di Lembah Klang.

Worldwide Holdings terlibat dalam sektor tenaga tertumpu kepada utiliti, terutamanya perniagaan berkaitan penjanaan tenaga, meliputi sumber tenaga terma dan tenaga boleh baharu (RE).

Antara aktiviti program Worldwide Prihatin adalah pemberian sumbangan kepada tabung bencana, tabung kemanusiaan, tabung pendidikan dan bantuan pelajaran kepada pelajar kurang berkemampuan, serta tajaan program pembangunan sukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast