Foto Facebook Perak FC.

KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Perak (Perak FC) yang sepatutnya menyelesaikan rundingan pertukaran pemilikan kelmarin namun proses itu tertangguh disebabkan oleh beberapa isu.

Kelab itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah membuat permohonan kepada badan pengendali liga, Malaysia Football League (MFL) untuk melanjutkan tempoh masa bagi menyelesaikan rundingan tersebut.

“Perak yang diwakili oleh IMC telah bertemu dengan wakil daripada JR  untuk meneruskan urusan penjualan kelab tersebut.

“Bagaimanapun, JR hanya diwakili oleh peguam dan pembantu mereka, tanpa kehadiran pengarah syarikat tersebut.

“Oleh itu, kedua-dua pihak sepakat untuk bertemu pada minggu hadapan bagi melengkapkan proses menandatangani perjanjian pengambilalihan Perak FC,” kata kenyataan itu.

Difahamkan, Perak turut dalam rundingan dengan salah sebuah pihak syarikat telekomunikasi yang menunjukkan minat mereka untuk ambil alih kelab itu.

Menurut Pengerusi  First Instance Body (FIB) MFL, , Sheikh Mohd Nasir, selepas meneliti dan menperhalusi permohonan Perak FC pada 18 April 2022, pihaknya memberikan ruang untuk pihak pengurusan kelab Liga Premier itu menyelesaikan segala proses rundingan bersama pemilik baharu sehingga 29 April 2022.

“Pihak Jawatankuasa FIB membuat keputusan untuk memberikan ruang masa kepada Perak FC kerana kami berharap dengan penyelesaian proses rundingan berkenaan akan dapat memberi satu sinar baharu kepada kebajikan pemain dan pegawai Perak FC.

“Bagaimanapun sekiranya Perak FC masih gagal menyelesaikan urusan berkenaan pada tarikh yang telah ditetapkan maka pihak Jawatankuasa FIB akan mengambil tindakan lanjut serta membawa perkara ini ke pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah MFL,” katanya. – MalaysiaGazette