Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran meninjau keadaan lif yang retak ketika mengadakan sidang media mengenai pengumuman Perdana Menteri berkenaan peruntukan 127 juta untuk penukaran lif baru Flat Seri Perak di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 24 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Bilakah projek penggantian lif Perumahan Awam (PA) Seri Perak Bandar Baru Sentul dan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu kota mahu bermula?

Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran mendakwa projek yang diumumkan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tahun lepas namun sampai sekarang belum ada tanda-tanda ia bermula.

Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 24 APRIL 2022.

Beliau yang juga merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan berkata,  Perdana Menteri pada Oktober 2021 mengumumkan peruntukan sebanyak RM11.6 juta untuk membaik pulih lif di PA Seri Perak dan keseluruhan RM127 juta di PA dan PPR di Kuala Lumpur.

“Bila peruntukan ini nak diturunkan? Bila warga perumahan awam dan PPR ni dapat merasa lif-lif baharu?

“PM kata projek ini akan bermula tahun ini tapi sampai sekarang saya rasa saya belum nampak lagi mana-mana lif telah ditukarkan disini ataupun di PA lain,” katanya pada sidang media hari ini.

PA Seri Perak dengan tujuh blok setinggi 17 setiap tingkat mula diduduki penduduk sejak 1 Mei 1986 namun keadaan lif pangsapuri tersebut sangat membimbangkan.

Prabakaran yang risau tentang keselamatan penduduk berkata, apabila lif rosak, semua penduduk tanpa mengira umur terpaksa menggunakan tangga.

“Saya pernah jumpa warga emas dengan kerusi roda terpaksa naik tangga.. itu pun orang angkatkan. Masalah dana penyelenggaraan fasiliti ni terjadi apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyerahkan hak pengurusan kepada badan pengurusan bersama (JMB).

“Kadang-kadang JMB gagal mengumpulkan kutipan dana maintenance yang secukupnya daripada penduduk setempat menjadikan proses penyelenggaraan tidak dapat dilaksanakan.

“Ada penduduk miskin tegar, yang tak mampu pun nak bayar RM40 kepada JMB” katanya menjelaskan situasi di Perumahan Awam Seri Kelantan.

Beliau menyatakan Perdana Menteri harus menjawab semua persoalan berkenaan projek membaik pulih lif dan fasiliti berkenaan yang telah tertangguh lebih daripada masa yang dijadualkan.

Pada Oktober 2021, kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan DBKL mengumukan akan menaik taraf fasiliti termasuk kemudahan lif di Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul demi keselesaan kepada lebih 1,000 keluarga dengan dana sebanyak RM8.4 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan pusat.

Ia sebahagian daripada peruntukan berjumlah RM11.6 juta yang diumumkan Perdana Menteri bagi pelaksanaan projek-projek baik pulih dan naik taraf infrastruktur awam. – MalaysiaGazette.