Tunku Ismail Tunku Ismail berkenan bertemu dengan delegasi Kementerian Pengajian Tinggi yang diketuai oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor (TMJ) mencadangkan agar Persatuan Mahasiswa Anak Johor diwujudkan semula di semua universiti tempatan.

Ini titah baginda akan menjadi platform kepada pelajar Johor menjalankan pelbagai aktiviti dan program sambil berkongsi idea dan pendapat.

Selain itu, persatuan-persatuan ini akan menjadi sebahagian daripada Gabungan Mahasiswa Anak Johor (GAJ) yang lebih besar.

Tunku Ismail berkenan bertemu dengan delegasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang diketuai oleh YB Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr.Husaini Omar.

“Aktiviti-aktiviti dan acara baharu juga akan dianjurkan di bawah GAJ ​​seperti kejohanan bola sepak antara universiti.

“Saya juga berharap negeri Johor sentiasa dipilih sebagai pilihan hab pendidikan tempatan dan antarabangsa. Pelajar-pelajar tempatan mesti diberi lebih banyak peluang untuk mendapat pendidikan tinggi yang lebih berkualiti dan berpatutan. Johor juga memerlukan polisi pendidikan tinggi yang berpandangan ke hadapan yang merangkumi penggunaan pembelajaran berasaskan pengalaman untuk menyemai kemahiran abad ke-21.

“Reka bentuk dan penyampaian modul pendidikan perlu memanfaatkan teknologi termaju untuk membolehkan pembelajaran yang lebih khusus,”titah baginda menerusi laman facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, Tunku Ismail juga mahukan pendidikan TVET mesti diberi keutamaan untuk menjana lebih ramai pekerja mahir untuk pelbagai industri dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Menurut perkongsian itu juga terdapat ramai graduan yang menganggur pada masa ini dan tahap gaji permulaan graduan baru universiti tempatan adalah rendah, menunjukkan kebolehpasaran mereka yang rendah dan ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran kemahiran.

“Isu ini bukan sahaja kesan daripada pandemik tetapi masalah sistemik yang telah wujud selama bertahun-tahun. Pada masa ini bilangan pelajar universiti yang menamatkan pengajian melebihi bilangan peluang pekerjaan yang ada. Jika kita tidak menangani isu ini dengan segera, populasi belia yang “berpendidikan tetapi menganggur” akan bertambah.

“Isu-isu ini perlu ditangani dengan segera dan sistematik untuk membantu graduan meningkatkan kebolehpasaran mereka di masa hadapan. YB Menteri telah memberi jaminan kepada saya bahawa kementerian sedang meneliti isu-isu tersebut pada waktu ini.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dua tahun lalu menyebabkan gangguan besar kepada pelajar universiti dan pensyarah kerana peralihan mendadak kepada pembelajaran dalam talian. Isu-isu seperti akses terhad kepada peranti pintar dan sambungan internet yang lemah menyebabkan ramai pelajar terjejas dan membawa kepada motivasi diri yang rendah.

“Pembahagian antara pelajar universiti yang berkemampuan dan yang kurang berkemampuan begitu ketara dalam tempoh dua tahun yang lalu, di mana pelajar yang lebih berkemampuan berada di hadapan dalam memperoleh pendidikan yang berharga.

“Selepas pandemik, sewaktu kembali kepada pengajaran berasaskan fizikal, universiti dan pendidik mesti mengingati bahawa impak pembelajaran dalam talian selama 2 tahun adalah berbeza bagi mereka yang berkemampuan berbanding mereka yang kurang berkemampuan.

“Usaha mesti dilakukan untuk menampung perbezaan ini dan memastikan pelajar yang kurang berkemampuan tidak ketinggalan,” titah baginda.

Tunku Ismail turut berharap semua pelajar negeri Johor terus bekerja keras dan cemerlang di IPTA.

TMJ bertitah, pertumbuhan modal insan berkemahiran di seluruh negeri Johor adalah penting untuk pembangunan tenaga kerja yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Terdahulu Tunku Ismail berkenan bertemu dengan delegasi Kementerian Pengajian Tinggi yang diketuai oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr.Husaini Omar.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast