Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar ketika bercakap pada media Pengumuman Dividen Bank Rakyat dan Prestasi Kewangan Kumpulan Bank Rakyat bagi tahun 31 Disember 2021 di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM 25 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Bank Rakyat (Kumpulan) mengumumkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.63 bilion dan keuntungan bersih sebanyak RM1.86 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM1.44 bilion dan RM1.38 bilion masing-masing pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi ini dicapai melalui kekukuhan asas dan fokus terhadap aktiviti teras walaupun ketidaktentuan ekonomi akibat Covid-19.

Sementara itu menurut beliau, keuntungan bersih yang lebih tinggi disumbangkan oleh liabiliti cukai tertunda yang lebih rendah pada tahun semasa.

“Prestasi kewangan tahun 2021 didorong oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan Kumpulan serta kos pendanaan yang lebih rendah kesan daripada Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang rendah.

“Di samping itu, peruntukan penjejasan yang lebih rendah pada tahun semasa, sejajar dengan aliran industri juga telah meningkatkan prestasi Kumpulan. Pendapatan operasi bersih Kumpulan meningkat sebanyak 3.2 peratus kepada RM3.52 bilion berbanding RM3.41 bilion sebelum ini.

“Ia dibantu oleh kos dana yang lebih rendah hasil daripada pengurusan aset liabiliti yang berkesan dan Akaun Semasa-i dan Akaun Simpanan-i (CASA) yang lebih tinggi kepada RM9.23 bilion daripada RM8.28 bilion sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman dividen Bank Rakyat dan prestasi kewangan kumpulan Bank Rakyat bagi tahun berakhir 31 Disember 2021 di sini hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar ketika berucap pada Pengumuman Dividen Bank Rakyat dan Prestasi Kewangan Kumpulan Bank Rakyat bagi tahun 31 Disember 2021 di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM 25 APRIL 2022.

Abd Rani menambah, Kumpulan berjaya mengekalkan nisbah kos kepada pendapatan yang sihat bawah 40 peratus iaitu lebih rendah daripada purata industri hasil daripada aktiviti pengurusan kos yang efektif.

“Kumpulan terus menjadi Bank Koperasi paling menguntungkan, serta institusi kewangan Islam kedua terbesar di Malaysia dari segi keuntungan,” katanya.

Sementara itu, Noh mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 15 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding 13 peratus pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, jumlah dividen itu membabitkan pembayaran sebanyak RM429.50 juta kepada anggotanya dan dividen tersebut akan dikreditkan kepada 827,077 anggotanya bermula hari ini.