Pengerusi Bank Rakyat, Tuan Haji Abd Rani Lebai Jaafar (kanan) Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (tengah) menyerahlan Placard pada Pengumuman Dividen Bank Rakyat dan Prestasi Kewangan Kumpulan Bank Rakyat bagi tahun 31 Disember 2021 di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM 25 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 15 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding 13 peratus pada tahun sebelumnya.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, jumlah dividen itu membabitkan pembayaran sebanyak RM429.50 juta kepada anggotanya dan dividen tersebut akan dikreditkan kepada 827,077 anggotanya bermula hari ini.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Pengurusan serta seluruh warga kerja Bank Rakyat kerana telah berjaya merekodkan kejayaan yang memberangsangkan meskipun sektor perbankan dilanda pelbagai cabaran pada tahun 2021 berikutan penularan pandemik Covid-19 yang masih lagi membelenggu negara.

“Bank Rakyat masih lagi mengekalkan prestasi kadar dividen berjumlah dua digit untuk tempoh 23 tahun.

“Syabas dan tahniah atas pencapaian dan prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh Bank Rakyat setelah hampir lebih dua dekad.

“Saya percaya pencapaian ini adalah hasil daripada komitmen Bank Rakyat untuk merealisasikan mandat yang dipertanggungjawabkan bagi memperkasa kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggannya.

“Seperti yang kita sedia maklum, Bank Rakyat sentiasa prihatin terhadap keperluan anggotanya yang mana 30 peratus penerima individu terdiri daripada golongan B40, manakala 20 peratus penerima anggota koperasi terdiri daripada golongan B40,” katanya.

Beliau berkata pada majlis pengumuman dividen Bank Rakyat dan prestasi kewangan kumpulan Bank Rakyat bagi tahun berakhir 31 Disember 2021 di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar

Mengulas lanjut, Noh berkata, beliau berharap dengan penerimaan dividen itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan yang dihadapi anggota dalam mengharungi pandemik Covid-19.

Pada masa sama kata beliau, ia dapat membantu anggota dalam membuat persiapan hari raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Pengurusan dan seluruh warga kerja Bank Rakyat atas perkhidmatan dan pencapaian yang membanggakan bagi tahun kewangan berakhir 2021.

“Semoga keseluruhan Kumpulan Bank Rakyat akan terus maju dan bermotivasi tinggi bagi terus mencapai kejayaan pada masa hadapan,” katanya.

Noh berkata, Kumpulan Bank Rakyat juga meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak dua peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM32.30 juta disumbang kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan satu peratus bersamaan RM16.15 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.

“Jumlah sumbangan bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM48.45 juta,” katanya. – MalaysiaGazette