Berhati-hati dengan jangkitan kes malaria, Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya mencapai sifar malaria manusia jangkitan tempatan untuk empat tahun berturut-turut bermula tahun 2018 hingga 2021 tetapi pada masa sama negara ini menghadapi peningkatan jangkitan malaria zoonotik yang disebabkan oleh parasit Plasmodium knowlesi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, jangkitan malaria zoonotik ditularkan daripada haiwan (beruk/kera) yang merupakan perumah semulajadi bagi parasit ini kepada manusia melalui gigitan nyamuk Anopheles sp.

Menurutnya, malaria zoonotik di Malaysia telah meningkat dengan drastik dari 376 kes pada 2008 kepada 3,575 kes pada tahun 2021.

”Berbeza dengan malaria manusia, penularan jangkitan malaria zoonotik kerap berlaku di luar rumah. Malaria zoonotik juga adalah penyebab utama kematian malaria di Malaysia sejak tahun 2017.

”Susulan itu KKM telah mempertingkatkan keupayaan diagnosa malaria zoonotik melalui kaedah polymerase-chain-reaction (PCR),” katanya sempena Sambutan Hari Malaria Sedunia yang disambut setiap 25 April setiap tahun.

Tema sambutan tahun ini ialah “Harness Innovation To Reduce The Malaria Disease Burden and Save Lives.

Jelasnya, peningkatan kes adalah disebabkan pembukaan tanah yang pesat untuk aktiviti perladangan yang menyebabkan peningkatan pendedahan manusia kepada haiwan perumah semulajadi malaria zoonotik.

Mengulas mengenai kes jangkitan malaria manusia, beliau berkata, Malaysia masih terdedah kepada risiko kemasukan semula kerana terdapat kes malaria import dalam kalangan pekerja asing yang baharu tiba atau warga tempatan yang pulang dari negara endemik malaria.

Malaysia melaporkan sebanyak 111 kes import malaria manusia pada tahun lalu.

Pada masa ini, rawatan malaria sedia ada juga berkesan untuk malaria zoonotik.

Ini kerana, cabaran KKM dalam menangani malaria zoonotik adalah ketiadaan kaedah kawalan vektor yang berkesan bagi membendung penularan jangkitan di luar rumah.

“Bagi menangani ancaman ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyusun strategi baharu seperti saringan malaria di pintu masuk terpilih dan memetakan kawasan yang mempunyai risiko tinggi kemasukan semula malaria seterusnya melaksanakan intervensi pencegahan termasuk aktiviti kawalan vektor.

Menurut beliau, kejayaan membendung malaria manusia jangkitan tempatan diperolehi hasil keberkesanan inovasi dan strategi pengurusan kes dan kawalan vektor yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Antara inovasi yang telah dilaksanakan semburan residual racun serangga (IRS), penggunaan kelambu berubat dan penggunaan ubat Artemisinin Combination Therapy (ACT) bagi rawatan malaria.

Selain itu, katanya, liputan capaian kepada perkhidmatan diagnosis, rawatan dan kawalan vektor di kawasan terpencil telah dipertingkatkan dengan pembinaan pejabat sub-sektor malaria.

”Bagi menangani ancaman ini, KKM telah menyusun strategi baharu seperti saringan malaria di pintu masuk terpilih dan memetakan kawasan yang mempunyai risiko tinggi kemasukan semula malaria seterusnya melaksanakan intervensi pencegahan termasuk aktiviti kawalan vektor.

Di samping itu, KKM juga telah mengenalpasti sektor berisiko seperti perladangan dan perhutanan untuk diberi tumpuan pelaksanaan aktiviti survelan malaria.

”Oleh itu jika seseorang bergejala demam dan mempunyai sejarah masuk ke kawasan berisiko malaria atau baharu pulang dari negara endemik malaria perlu segera mendapat rawatan di fasiliti kesihatan.

Manakala, pekerja yang terlibat dalam sektor perladangan dan perhutanan perlu menjalani saringan malaria secara berkala.
– MalaysiaGazette